
UTM, PERODUA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN TEKNOLOGI xEV
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) memeterai kerjasama fasa baharu bagi memperkasa pembangunan teknologi kenderaan elektrik (xEV) negara menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) untuk pelaksanaan Program Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM.
Kerjasama strategik selama lima tahun itu memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan serta penyelidikan berkaitan mobiliti hijau, selari dengan keperluan industri automotif yang semakin beralih kepada teknologi elektrifikasi.
Setiap tahun, seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih menyertai program khas berkenaan.
Peserta terpilih akan mengikuti program selama satu setengah tahun bermula semester kedua ketika berada di tahun tiga pengajian.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka akan menjalani latihan industri selama 10 minggu di PERODUA serta berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa daripada Institute of the Motor Industry (IMI) Tahap 3.
Selain itu, Projek Tahun Akhir pelajar turut diselia bersama jurutera PERODUA bagi memastikan hasil penyelidikan memenuhi keperluan sebenar industri.
Pendekatan ini dilihat mampu merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan aplikasi praktikal.
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Abdul Rahim berkata, kerjasama berkenaan menjadi langkah penting dalam menyediakan graduan yang lebih kompetitif dan bersedia menghadapi keperluan industri masa depan.

Menurutnya, penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM yang dilengkapi peralatan terkini, termasuk teknologi simulasi Hardware in the Loop (HIL), akan meningkatkan keupayaan penyelidikan serta latihan pelajar.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyifatkan inisiatif tersebut sebagai pelaburan jangka panjang bagi membina ekosistem xEV yang mampan.
Beliau berkata, pendedahan langsung kepada operasi industri akan membantu melahirkan jurutera yang mahir dalam teknologi kenderaan elektrik moden.
Sebagai sokongan kepada program ini, PERODUA turut menyumbangkan pelbagai peralatan teknikal serta dua unit kenderaan elektrik konsep Perodua QV-E untuk tujuan pembelajaran praktikal di makmal berkenaan.
Kerjasama tersebut dijangka memperkukuh hubungan antara akademia dan industri, sekali gus mempercepat pembangunan bakat tempatan serta inovasi teknologi yang menyokong agenda kelestarian dan kemajuan sektor automotif negara.







