Artikel Pilihan

MOTOSIKAL PELUMBA TERPUTUS DUA DALAM DAKAR RALLY – TAK BOLEH NAK BAYANG KALAU JADI MACAM NI

Perlumbaan rali macam Dakar Rally ni memang mencabar dan kita memang tak boleh nak jangka apa yang bakal berlaku. Apa yang menimpa pelumba bernama Francisco Gomez Pallas ni memang mengejutkan kerana motosikal yang ditunggang beliau terputus dua di tengah-tengah perlumbaan.

Insiden berlaku ketika Gomez Pallas sedang berusaha untuk menamatkan peringkat ke 11 Dakar Rally. Ia mungkin kemalangan motosikal paling mengejutkan dalam perlumbaan ini namun syukurlah Gomez Pallas masih terselamat dan masih boleh berjalan selepas kemalangan.

Kemalangan tersebut juga berjaya dirakam oleh helikopter petugas Dakar menunjukkan Gomez Pallas sedang menunggang dengan laju di kawasan berbatu bila motosikal yang ditunggang tiba-tiba terputus dua.

Gomez Pallas tercampak melepasi bar hendal dan motosikal tersebut tak payah cerita la. Memang tergolek-golek mengalahkan aksi bertumbuk filem Tamil.

Gomez Pallas bukannya muka baru dalam perlumbaan ini dan sudah mula berlumba sejak tahun 2000 tapi ini kali pertama beliau mula berlumba di Arab Saudi. Dakar Rally memang diadakan di Arab Saudi sekarang ya tuan-tuan.

Pelumba Sepanyol tersebut bersaing dalam kategori Mission 1000. Ia merupakan kategori khas di mana pengeluar menguji kenderaan-kenderaan baharu dengan teknologi sifar karbon. Motosikal yang ditunggang oleh Gomez Pallas ialah keluaran syarikat BAT Power Racing dan berkuasa elektrik.

Video kemalangan Gomez Pallas telah dimuatnaik ke laman media sosial Rally Dakar tapi kemudian dipadamkan. Ia kemudian dimuatnaik kembali ke pelbagai akaun media sosial lain seperti yang kami kongsikan.

Hati-hati bila menunggang gais sebab malang memang tidak berbau.

Google ads
Back to top button