Buletin

LEXUS LM 350 RASMI DILANCARKAN. VARIAN TUNGGAL 4 TEMPAT DUDUK, ENJIN 3.5 V6, LSS+, RM1.148 JUTA SAHAJA

Lexus Malaysia mengukuhkan lagi kedudukannya dalam segmen kenderaan mewah apabila melancarkan Lexus LM 350 secara rasmi.

Menjadi model MPV pertama Lexus, ia tampil dengan segala bentuk inovasi, kepakaran, seni pembuatan serta kehalusan omotenashi yang sudah sinonim dengan jenama ini.

LM 350 dirancang dari awal sebagai kenderaan mewah untuk golongan profesional yang menganggap kenderaan mereka lebih daripada sekadar pengangkutan.

Penampilan LM 350 diserlahkan spindle gril krom dan logo Lexus bersaiz besar di bahagian hadapan. Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu LED projektor dsn almpu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk seperti anak panah yang menjadi rekaan signatur model moden Lexus.

Dibina berasaskan kepada Toyota Alphard, bahagian sisi LM 350 tidak banyak berubah, cuma ada kemasan krom pada tingkap. Gayan itu disempurnakan lagi dengan rekaan rim bersaiz 18 yang cukup elegan. 

MPV mewah itu didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan putih mutiara kristal. 

Keistimewaan LM 350 sebenarnya terletak pada ruang kabin yang menempat dua tempat duduk sahaja. Ruang yang luas dan mewah itu memastikan penumpang selesa sepanjang perjalanan. Kerusi seperti berada dalam kelas pertama penerbangan itu boleh dibaring dan ditegakkan menerusi konsol digital. 

Tempat duduk itu juga hadir dengan ciri urutan yang sesuai untuk melegakan tubuh selepas penat seharian bekerja.

Penumpang dihidangkan dengan skrin bersaiz 24 inci untuk menonton apa jua program kegemaran. Di bahagian atasnya dipasang dengan jam analog dan cermin pemisah di antara pemandu dan ruang kabin. Cermin itu boleh dinaik, diturun, dijernih dan dikaburkan menggunakan butang. Sangat privasi. 

Bahagian bawah skrin itu terletak satu peti sejuk mini yang membolehkan botol minuman disimpan. Di sebelah kiri dan kanannya, terdapat ruang untuk anda menyimpan beg atau barangan peribadi yang lain. Anda juga pasti berpuas hati dengan kualiti sistem bunyi Mark Levinson bersama 19 unit pembesar suara. 

Pemandu pula dihidangkan dengan skrin sentuh bersaiz 12.3 inci yang boleh dikawal menerusi pad sentuhan pada konsol tengah. Sistem itu menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android auto. 

LM 350 digerakkan oleh enjin aspirasi biasa bersesaran 3.5 liter yang mampu menjana kuasa 296hp dan tork 361Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear direct shift 8-kelajuan automatik. Keselesaan pemanduan ditingkatkan dengan penggunaan sistem suspensi canggih sersama ciri swing valve.

Dari segi keselamatan, MPV mewah itu dilengkapi Lexus Safety System+ (LSS+). Ia merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi Start/Stop, Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA) dan Adaptive High-Beam System (AHS).

Jika berminat, LM 350 boleh menjadi milik anda pada harga RM1.148 juta (tidak termasuk insurans). Pelanggan akan menerima LM 350 yang dikilangkan di Inabe, Jepun ini pada Julai depan. 

GALERI

Google ads
Back to top button