Buletin

TOYOTA CATAT PEMULIHAN JUALAN MENGAGUMKAN. BERADA DI TAHAP 84% BERBANDING TAHUN LALU

Pandemik COVID-19 sememangnya memberi impak besar ke atas industri automotif global apabila jumlah jualan kenderaan jatuh merudum. 

Situasi itu menyebabkan hampir semua pengeluar terpaksa mengambil langkah penjimatan kos dengan memberhentikan ribuan pekerja. 

Biarpun begitu, Toyota dikatakan yakin akan tetap untung. Keyakinan itu disuarakan oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda yang menjangkakan biarpun jualan kereta turun 20 peratus, tetapi berharap dapat mencatat keuntungan operasi sebanyak 500 bilion yen (RM19.5 bilion). 

Jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada jualan global Toyota pada Jun yang sudah 84 peratus pulih berbanding tempoh sama tahun lalu sejak produksi kembali rancak pada Mei. Angka jualan di China naik tiga bulan berturut-turut. 

Walaupun jualan di pasaran Eropah turun 11.5 peratus, tetapi pertumbuhan kekal positif sejak Mei. Di Jepun pula, jualan sudah 77.3 peratus pulih sejak Jun, selepas kerajaan membatalkan perintah berkurung. 

Pemulihan itu dilihat cukup mengagumkan kerana jualan Toyota jatuh 31 peratus di antara April hingga Jun tahun ini. Pada Jun, produksi globalnya pulih 76 peratus berbanding tahun lalu. Terima kasih kepada peningkatan pengeluaran di China sepanjang bulan lepas.

RAV4 menjadi model terlaris bagi tempoh 6 bulan pertama dengan 426,000 unit berjaya dijual. Lexus juga mencatat jualan yang tinggi pada Jun iaitu sebanyak 64,000 unit di seluruh dunia.

Google ads
Back to top button