BuletinMotosikal

NAK BELI TOURING? TUNGGU DULU, BMW 310GS AKAN DILANCARKAN SEBELUM OGOS, BAWAH RM35K

Ini maklumat yang baru kami terima dari sumber yang boleh dipercayai, BMW Motorrad akan memperkenalkan BMW GS310 pada tahun ini. Tiada tarikh khusus, namun sumber memberitahu, ia akan dilancar sebelum suku ke tiga tahun ini. Itu bermaksud, selewat-lewatnya pada bulan Ogos nanti.

BMW G310GS telah dilancarkan secara rasmi di pameran motosikal EICMA bertempat di Milan, Itali. Sudah tentu ia menjadi motosikal idaman bagi peminat kembara dan juga BMW khususnya. Motosikal yang dibangunkan bersama rakan strategik BMW, TVS di India ini juga akan menjadi “BMW pertama” bagi pembeli touring yang selama ini mempunyai pilihan terhad untuk model premium keluaran BMW Motorrad.

310GS dipasangkan dengan enjin 1 selinder 313 ss, DOHC dengan output kuasa 34hp dan 28Nm tork. Ia dipacu transmisi 6 kelajuan dengan berat bersih keseluruhan 170kg. Brek anti kekunci (ABS) didatangkan sebagai peralatan standard.

Berbeza dengan G310R naked, 310GS dipadankan dengan suspensi hadapan 41mm lebih panjang dengan jarak akses 49mm, sesuai dengan karekternya sebagai motosikal touring. Rodanya juga menggunakan saiz lebih besar, 19 inci di depan dan 17 inci di belakang. Saiz sebenar sebuah motosikal adventur.

Motosikal ini didatangkan dengan pilihan warna Cosmic Black, Racing Red dan Pearl White. Seperti juga anda, kami sangat berharap BMW Motorrad Malaysia dapat membawa masuk model ini. Cuma kita terpaksa menunggu lama kerana G310R pun masih belum dilancarkan secara rasmi meskipun telah dipamerkan dalam beberapa roadshow sejak awal tahun ini.

Jadi persoalan paling menarik, berapakah harganya? menurut sumber kami, ia akan dijual di bawah RM35,000. Jika mengikut susunan pasaran BMW Motorrad di Malaysia, ia akan jadi motosikal termurah mereka. Dalam julat harga ini cuma ada Honda CB500X, dan Versys 250 pada harga RM25,000.

Sudah tentu, pasaran touring “kecil” akan jadi lebih menarik. Kami percaya, motosikal ini pasti laris dengan strategi pemasaran yang betul.

BACA: BMW 310GS DILANCARKAN SECARA RASMI DI EICMA

BACA: SUZUKI DL250, SI MINI CV-STROM

Google ads
Back to top button