
PROTON X50 SPORT EDITION RASMI DILANCARKAN – 15 PENAMBAHBAIKAN PADA HARGA TAMBAHAN RM1,999
PROTON hari ini secara rasmi melancarkan X50 Sport Edition (SE) serba baharu dengan penampilan lebih sporty menerusi 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman.
Berasaskan varian Flagship, pakej ini ditawarkan pada harga tambahan hanya RM1,999 berbanding model standard.
Pakej Sport Edition diperkenalkan sebagai pilihan naik taraf penampilan, bukannya varian kenderaan yang berasingan. Ia mengetengahkan kombinasi warna hitam dengan aksen merah bagi memberikan karakter lebih agresif kepada SUV segmen-B berkenaan.
Bahagian luaran menerima kemasan hitam pada beberapa elemen utama, termasuk hiasan gril hadapan, kemasan saluran udara sisi serta bahagian bampar hadapan dan belakang. Penampilan itu dipadankan dengan rim aloi hitam berukuran 18-inci.

Skirting khusus pada bahagian hadapan, sisi dan belakang turut diberikan bagi menghasilkan profil yang lebih dinamik. Identiti Sport Edition dilengkapkan dengan lencana khas yang membezakan model ini daripada varian Flagship standard.
Tema sama diteruskan dalam kabin menerusi jahitan merah pada stereng, perehat tangan, panel pintu dan tempat duduk.
Tempat duduk hadapan turut menerima sulaman Sport Edition, manakala kemasan lantai eksklusif, tikar TPE serta plat ambang pintu logam khusus melengkapkan ruang dalaman.
Menurut PROTON, X50 Sport Edition telah menjalani lebih 13,700 jam ujian melibatkan ketahanan, ketahanan terhadap kakisan, pendedahan sinaran ultraungu (UV) dan kesesuaian untuk iklim tropika Malaysia.
Walaupun menerima perubahan dari segi penampilan, model ini mengekalkan rangkaian kuasa dan ciri utama yang ditawarkan pada varian Flagship.

Spesifikasi utama PROTON X50 Sport Edition:
- Enjin: i-GT 1.5 liter turbo
- Kuasa maksimum: 181PS
- Tork maksimum: 290Nm
- Transmisi: Dwi-klac tujuh kelajuan (DCT)
- Rim aloi: 18 inci, kemasan hitam
- Sistem infotainmen: Skrin 14.6-inci
- Kesalinghubungan: Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
- Arahan suara: “Hi PROTON”
- Sistem bantuan pemandu: 15 ciri ADAS, termasuk Auto Park Assist (APA)
- Sistem kamera: Kamera HD 360 darjah dengan Paparan Telus 180 darjah
- Pemantauan tayar: Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
- Aplikasi pintar: PROTON Link 2.0
Dari segi kemudahan digital, aplikasi PROTON Link 2.0 membolehkan pemilik menyemak maklumat kenderaan seperti lokasi, paras bahan api, anggaran jarak pemanduan, amaran kenderaan dan sejarah perjalanan melalui telefon pintar.
Aplikasi itu turut menyokong jam tangan pintar Huawei terpilih yang menggunakan sistem operasi HarmonyOS.
Melaluinya, pemilik boleh mengakses beberapa fungsi kenderaan, termasuk menghidupkan atau mematikan enjin, mengawal penyaman udara, mengunci dan membuka pintu, mengendalikan tingkap kuasa serta membuka ruang bagasi. Fungsi membunyikan hon dan mengaktifkan lampu juga disediakan.

Bagi pakej pemilikan, PROTON mengekalkan beberapa manfaat untuk pembeli varian Flagship dan Sport Edition, termasuk jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma menerusi Pro-Warranty.
Pembeli turut menikmati Pro-Connect, iaitu pakej data dalam kenderaan selama lima tahun dengan kuota 2GB sebulan.
Dari segi harga, PROTON menawarkan pakej Sport Edition dengan nilai penambahbaikan yang dinyatakan sebanyak RM7,000, tetapi pelanggan hanya perlu membayar tambahan RM1,999 berbanding varian Flagship standard.
Harga atas jalan tanpa insurans:
| Varian | Semenanjung Malaysia | Malaysia Timur |
| X50 1.5TD Flagship | RM100,300 | RM102,300 |
| Pakej Sport Edition | +RM1,999 | +RM1,999 |
Harga dinyatakan selepas rebat Oktober 2026 sehingga RM13,000.
Pelanggan boleh membuat tempahan dan pembelian PROTON X50 Sport Edition menerusi rangkaian pengedar sah PROTON di seluruh negara.
GALERI:





















