Buletin

NISSAN 400Z MUNGKIN TIDAK DIHASILKAN

Sebelum ini, seperti sudah hampir pasti Nissan akan menghasilkan model gantian Nissan 370Z.

Ini berikutan banyak sekali bukti mengenai perkembangan itu termasuklah foto-foto spyshot model prototaip, logo Z baharu yang telah ditanda dagang dan kenyataan daripada pegawai kanan Nissan. 

Biarpun proses pembangunannya dikatakan sedang berlangsung, namun tidak bermakna jentera sports itu akan tiba di pasaran. Apatah lagi jika ekskutif tertinggi Nissan mendapati 400Z tidak selari dengan usaha membina imej syarikat yang mesra alam dan hijau. 

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Naib Presiden Kanan Reka Bentuk Nissan, Alfonso Albaisa. 

“Saya tahu anda mahu saya cakap: Z baharu sedang dalam proses pembangunan. Saya baca banyak khabar angin dengan kebanyakan artikel memetik nama saya atau rakan saya iaitu Ketua Perancangan Produk dan Program Global Nissan, Iwan Espinosa. Semua ini tidak dapat disahkan dan sangat spekulatif,” jelas Albaisa. 

Dia kemudian menyatakan ramai yang ingin melihat model Z terus dihasilkan. Reka bentuk klasiknya tidak ditelan zaman. Jadi, tunggu sahaja.

“Anda tidak akan tahu apa yang boleh anda jangka daripada Nissan pada masa akan datang,” katanya lagi. 

Walaupun begitu, ramai yang yakin 400Z akan dihasilkan. Jentera itu dikhabarkan bakal dijana oleh enjin turbo berkembar V6 3.0 liter berkuasa 400hp. Manakala varian NISMO boleh mencecah kuasa 475hp atau lebih.

Tags
Google ads
Back to top button