Buletin

ORANG RAMAI KUTIP IKAN KEMBUNG DI ATAS JALAN AKIBAT LORI TERBALIK

Sebuah ori 3 tan yang membawa muatan ikan kembung dilaporkan terbalik di jalan susur lebuh raya selepas Jambatan Batu 5 dari arah Sitiawan ke Hutan Melintang di Hilir Perak petang Ahad menjadi tumpuan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun membawa muatan ikan kembung sebanyak 4 tan itu terbalik selepas mengelak kenderaan yang cuba memotongnya.

Ini menyebabkan muatan bertaburan di atas jalan dalam kejadian pada kira-kira 4.30 petang.

“Kejadian ini telah menarik perhatian orang awam yang lalu di situ dan mereka mula mengutip ikan-ikan yang bertaburan untuk dibawa pulang setelah mendapat kebenaran daripada pemilik syarikat di Sungai Besar.

“Pada masa yang sama, pekerja pemilik syarikat juga mengumpul semula kesemua ikan yang bertaburan dan orang awam telah mengambil sebanyak kira-kira 300 kilogram daripadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad malam.

Beliau berkata kerja-kerja mengutip ikan selesai pada 7 petang dan kerugian akibat kejadian itu dianggarkan bernilai RM20,000.

Tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan susulan insiden itu. Lori terbabit bagaimanapun mengalami kerosakan pada cermin depan. Pintu kiri kemik, manakala pintu kayu sebelah kiri pula pecah. – BERNAMA

Google ads
Back to top button