Buletin

PADA 1999 HONDA ODYSSEY RA6 DIPERKENAL, ENJIN VTEC 2.3L DAN 3.0L V6

Di antara MPV yang menarik di pasaran terpakai ialah Honda Odyysey generasi pertama (RA1) dan kedua (RA6). Tarikan pada MPV tersebut ialah harga mampu milik, jumlah tempat duduk dan ruang untuk keluarga.

Sebagai contoh Honda Odyssey generasi kedua (RA6) kini berharga belasan ribu sahaja. Walaupun sudah berusia, Odyssey RA6 tidak terlalu dimamah usia disebabkan reka bentuk yang malar segar (timeless).

Di Jepun, Odyssey RA6 diperkenalkan pada 2 Disember 1999 dan mula berada di pengedar Honda pada 21 Januari 2000.

Odyssey RA6 sebenarnya adalah naik taraf daripada Odyssey generasi pertama dan disebabkan itu ia nampak hampir sama.

Bagaimanapun, Odyssey RA6 sedikit panjang dan lebar berbanding generasi pertama.

Walaupun dengan perbezaan minor, ia berjaya menampakkan reka bentuk Odyssey yang relevan sehingga hari ini.

Sewaktu Odyssey RA6 diperkenalkan, Honda telah berjaya menjual lebih daripada 420,000 unit Odyssey generasi pertama di Jepun. Dikira dari pelancaran pada Oktober 1994 ternyata Odyssey adalah MPV yang popular.

Memandangkan Odyssey RA6 hampir menyerupai Odyssey generasi pertama, bentuk badan yang rendah dan lebar masih kekal dan ia sebenarnya adalah unik untuk Odyssey terutama sekali generasi ketiga dan keempat.

Odyssey RA6 diperbaharui dengan menambah baik keselesaan dan kegunaan di samping menjadikan prestasi hampir kepada sedan premium.

Di situ idea unik Honda pada Odyssey dan tidak menghairankan kenapa ia sebuah MPV yang berbeza.

Semasa diperkenalkan, Honda menawarkan dua jenis enjin iaitu 2.3L F23A VTEC (varian S,M dan L) dan 3.0L J30A VTEC V6 (varian VG dan VZ).

Enjin 3.0L V6 canggih dengan nisbah mampatan tinggi dan dilengkapi injap elektrik EGR. Enjin itu mempunyai output kuasa 210PS pada 5,800 rpm.

Varian 2.3L (S,M,L) dipadan dengan transmisi empat kelajuan automatik S-Matic (tiptronik).

Varian 3.0L V6 (VG,VZ) pula menggunakan transmisi lima kelajuan S-Matic dan model Honda pertama yang dibekalkan transmisi lima kelajuan (3.0L).

Kedua-dua jenis enjin ditawarkan dengan dua pilihan pacuan 2WD atau 4WD. 

Dari segi susunan pemandu dan penumpang, Odyssey RA6 mempunyai dua jenis kerusi iaitu tujuh tempat duduk bench dan enam tempat kapten. 

Selain itu, untuk kegunaan ruang lebih baik, Honda mengubah kedudukan tayar ganti ke bahagian simpanan bawah lantai.

Kerusi baris ketiga pula boleh dilipat tanpa perlu mencabut perehat kepala.

Dari segi keselamatan, Odyssey dilengkapi dua beg udara depan, ABS dengan EBD, sistem bantuan brek (BA) dan cakera brek depan saiz 16 inci.

Honda Odyssey facelift generasi kedua dengan beberapa perubahan seperti warna lampu belakang dan logo H lebih besar diperkenalkan pada 2002. 

Oktober tahun berikutnya Odyssey serba baharu (RB1/generasi ketiga) diperkenalkan di Jepun. Kali ini masih mengekalkan gaya badan sama malah lebih cenderung kepada wagon iaitu rendah dan lebar.

BACA: PADA 2003, HONDA ODYSSEY RB1 DIPERKENAL DI JEPUN

BACA: PADA 2013 HONDA ODYSSEY RC1 DIPERKENAL, TURUT DIJUAL DI MALAYSIA

BACA: HONDA ODYSSEY USDM, CUN JUGA NI! 3.5L V6

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button