Buletin

NISSAN PERTAHAN KITARAN HAYAT GT-R R35 YANG SUDAH TERLALU LAMA. ALASANNYA IALAH…

Kalau kita bercerita tentang Nissan GT-R generasi sekarang (R35), antara point utama yang akan diutarakan ialah usia jentera itu yang semakin meningkat.

Ini kerana versi produksi generasi terkini kereta tersebut melakukan debut pertama pada tahun 2007, dalam acara Tokyo Motor Show. Ia mula dijual dua tahun kemudian.

Selepas sedekad, GT-R hanya menerima dua kemas kini kecil. Mujurlah ia merupakan jentera yang hebat sejak dilancarkan, jadi GT-R masih dipandang tinggi biarpun pada tahun 2020.

Tetapi, dengan persaingan yang semakin sengit, timbul persoalan kenapa Nissan tidak membawa Godzilla ke peringkat seterusnya?

Soalan itu dijawab sendiri oleh Pakar Produk Nissan, Hiroshi Tamura. Dikenali sebagai peminat tegar GT-R, Tamura berkongsi tentang model-model masa depan GT-R yang merangkumi enjin konvensional, hibrid dan kenderaan elektrik.

Walaupun masih belum ada yang sedang dibina, isu utama pembinaan GT-R baharu berkisar tentang aspek mampu milik. Nissan dikatakan mahu menawarkan GT-R yang ‘mampu milik’. Dengan tidak menghasilkan model baharu, GT-R masih boleh ditawarkan pada harga sekarang.

Logik itu bagaimanapun menimbulkan satu masalah, GT-R tetap sebuah supercar yang mahal, misalnya versi Nismo. Sebagai contoh, GT-R ditawarkan pada harga bermula AS$113,540 (RM496,00) di Amerika Syarikat.

Manakala versi Nismo yang kuasanya telah ditingkatkan daripada 480hp kepada 600 hp kini berharga AS$200,000 (RM873,000). Memang tidak murah kerana ia masih menggunakan kerangka, reka dalaman, luaran dan kebanyakan alat gantinya tetap lama.

Jadi, penjelasan lebih logik ialah Nissan sebenarnya tidak mampu untuk menghasilkan GT-R serba baharu. Semua maklum bahawa pengeluar kenderaan Jepun itu kini berdepan masalah kewangan serius, jumlah jualan terus menjunam dan masa depan yang kelam.

Masalah itu diburukkan lagi dengan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. Justeru, untuk melihat Nissan hadir dengan GT-R baharu mungkin tidak akan berlaku buat masa terdekat ini.  

Google ads
Back to top button