
NISSAN DEDAH SKYLINE 400R LIMITED: TERHAD 400 UNIT, ANGGARAN HARGA RM215K
Walaupun model Skyline generasi semasa sudah berada di pasaran Jepun sejak tahun 2014, Nissan nampaknya belum bersedia untuk menamatkan legasi sedan ikonik ini.
Sebaliknya, jenama tersebut bersiap sedia untuk memperkenalkan satu varian baharu lebih bertenaga iaitu Skyline 400R Limited, yang dijadual membuat penampilan sulung di Japan Mobility Show hujung bulan ini.

Buat masa ini, Nissan masih merahsiakan butiran rasmi dan imej model tersebut, namun nama “400R” sendiri sudah cukup memberi petunjuk tentang apa yang bakal ditawarkan.
Varian ini dijangka mengekalkan enjin 3.0 liter V6 berkembar turbo yang turut digunakan pada Infiniti Q50 Red Sport – menghasilkan sekitar 400hp dan 475Nm tork, dengan versi Nismo di Jepun pernah dinaik taraf sehingga 414hp dan 550Nm.

Menurut laporan daripada media Jepun Creative311, hanya 400 unit Skyline 400R Limited akan dikeluarkan, menjadikannya satu edisi khas yang terhad.
Model ini juga dikatakan akan menjadi versi “ringan” kepada Skyline Nismo, mungkin menggunakan enjin dan talaan kuasa yang sama, tetapi tanpa beberapa elemen prestasi tambahan seperti mod pemanduan khas, lencana unik, rim Enkei 19-inci, kemasan gentian karbon, serta sistem kawalan dinamik dan ABS yang ditingkatkan.

Dari segi reka bentuk, 400R Limited dijangka tampil dengan kemas kini kosmetik kecil, mungkin dalam bentuk perincian dalaman premium atau sentuhan gaya eksklusif bagi membezakannya daripada varian 400R standard.
Harga rasmi masih belum diumumkan, namun anggaran awal menunjukkan ia bakal bermula sekitar 7 juta yen (lebih kurang RM215,000), meletakkannya di antara varian 400R biasa dan model Nismo dalam hierarki Skyline.
- BACA: iCAUR MALAYSIA RASMI BUKA PUSAT PENGEDAR UTAMA DI DAMANSARA
- BACA: TEMPAHAN GWM ORA GOOD CAT DAN GOOD CAT GT BAHARU DIBUKA – HARGA BERMULA RM115K
- BACA: FERRARI DEDAH PERINCIAN MODEL ELEKTRIK PERTAMA – ELECTTRICA MAMPU HASIL 986HP, JARAK GERAK 529KM
- BACA: TOYOTA MULA TAYANG MODEL KONSEP COROLLA – LAIN MACAM BETUL RUPA PARASNYA




