Buletin

NISSAN SKYLINE 400R LIMITED DEBUT DI JEPUN – INFINITI SAHKAN SEDAN RWD BAHARU AKAN DATANG

Walaupun Infiniti telah menamatkan jualan model Q50 di Amerika Utara tahun lalu untuk memberi tumpuan kepada barisan SUV sepenuhnya, kisah sedan pacuan belakang itu masih belum berakhir.

Di Jepun, model sama masih hidup menerusi Nissan Skyline, dan kini hadir dalam versi istimewa 400R Limited, sebagai penghujung kepada generasi semasa sebelum model baharu diperkenalkan menjelang hujung dekad ini.

Terhad kepada 400 unit sahaja, Skyline 400R Limited menerima beberapa peningkatan dinamik termasuk rim 19-inci yang lebih lebar dengan tayar Dunlop, sistem suspensi depan yang ditala semula, pad brek dinaik taraf, serta palang anti-oleng belakang yang diperkukuh untuk pengendalian lebih tajam.

Beberapa sentuhan gentian karbon turut diberikan pada penutup cermin sisi dan spoiler belakang, menyerlahkan imej sporty model ini.

Bahagian dalaman menampilkan plak bernombor khas dan kemasan konsol tengah gentian karbon, tanda eksklusiviti versi terhad ini.

Di bawah bonet, tiada perubahan dilakukan; enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo berkembar masih menghasilkan 400hp, sama seperti yang digunakan pada Infiniti Q50 Red Sport 400.

Model ini dijual secara ‘first come, first served’ dengan harga 6,935,500 yen (sekitar RM215,000) — kira-kira RM13,000 lebih tinggi berbanding versi 400R standard.

Ia turut melengkapkan barisan Skyline di Jepun yang bermula daripada varian GT Type P dan SP berkuasa empat silinder.

Menariknya, pengumuman Skyline edisi terhad ini hadir seiring dengan pengesahan rasmi Infiniti mengenai pembangunan sedan pacuan belakang baharu.

Menurut Tiago Castro, Naib Presiden Infiniti Americas, model tersebut dijadualkan dilancarkan pada tahun 2027 sebagai pengganti spiritual kepada Q50/Skyline.

Walaupun tiada perincian prestasi didedahkan, laporan awal menyebut ia mungkin menggunakan enjin sama seperti Nissan Z, unit 3.0 liter V6 turbo berkembar dengan kuasa sehingga 450hp, dan mungkin juga menawarkan pilihan transmisi manual.

Sedan baharu itu bakal dibina di luar Amerika Syarikat dan dijangka berkongsi platform dengan Skyline generasi seterusnya di Jepun.

Langkah ini dilihat sebagai usaha Infiniti untuk menghidupkan semula minat terhadap jenama yang kini lebih sinonim dengan SUV, selepas mencatatkan penurunan jualan drastic, daripada 153,415 unit pada 2017 kepada hanya 58,070 unit pada tahun lalu, merosot lebih 60 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

Walaupun sedan baharu ini mungkin bukan taruhan jualan besar dalam era dominasi SUV, ia berpotensi besar untuk memulihkan imej premium Infiniti dan mengembalikan perhatian peminat terhadap legasi pemanduan sebenar.

Google ads
Back to top button