
PROTOTAIP FORD FATHOM DIDEDAHKAN – LANCAR TAHUN DEPAN, JANGKAAN HARGA DARI RM115K
Ford mula mendedahkan gambaran lebih jelas mengenai trak pikap elektrik baharunya, Ford Fathom, menerusi beberapa imej rasmi yang dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley.
Model yang masih dalam fasa pembangunan itu dijadualkan membuat kemunculan rasmi pada tahun 2027.
Walaupun masih dilitupi pelekat penyamaran berwarna-warni, beberapa elemen reka bentuk dapat dikenal pasti. Fathom menampilkan bahagian hadapan yang tegak dengan bukaan udara bawah lebar, mengingatkan kepada gaya digunakan pada Ford Maverick. Lampu utama dipasang di bahagian tengah fascia hadapan dengan grafik dalaman yang lebih tajam dan moden.
Dari sisi, trak elektrik bersaiz sederhana ini menggunakan rekaan badan yang lebih aerodinamik, termasuk roda khas direka bagi mengurangkan rintangan angin.

Ford turut mengekalkan pemegang pintu konvensional, namun cermin sisi kelihatan lebih kecil berbanding model semasa. Menurut Ford sebelum ini, penggunaan cermin yang lebih kompak mampu membantu meningkatkan jarak perjalanan sehingga kira-kira 2.4 kilometer.
Bahagian belakang pula menampilkan lampu menegak, gerbang roda yang membulat serta rekaan bampar yang ringkas. Terdapat juga spoiler belakang bersaiz besar pada prototaip yang dipercayai membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik dan seterusnya menyumbang kepada penjimatan tenaga.
Walaupun saiz kabinnya kelihatan lebih kecil akibat penggunaan penyamaran dan spoiler tersebut, Ford mendakwa ruang dalaman Fathom menawarkan kapasiti penumpang yang lebih besar berbanding Toyota RAV4.
Ini memberi petunjuk bahawa keselesaan penumpang akan menjadi antara keutamaan model berkenaan.

Dari segi teknologi, Fathom bakal dilengkapi skrin sentuh bersaiz besar bersama sistem navigasi berasaskan Apple Maps. Selain itu, ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, fungsi kunci digital, pengecasan dua hala (bidirectional charging) serta sistem pemanduan separa autonomi BlueCruise generasi baharu.
Ford masih belum mendedahkan spesifikasi penuh, namun syarikat itu memberi bayangan bahawa Fathom akan ditawarkan dengan beberapa pilihan bateri.
Varian asas dijangka menggunakan pek bateri jarak standard, manakala versi jarak jauh turut dirancang untuk pasaran.
Ford Fathom dijangka diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2027, dengan tempahan awal dibuka seawal tahun hadapan.
Di Amerika Syarikat, harga permulaan model ini diumumkan sekitar AS$28,350 (RM114,726), tidak termasuk caj penghantaran.


