Buletin

NISSAN DEDAH VIDEO RESTORASI R32 GT-R. KOS CECAH RM1.7 JUTA!

Disember tahun lalu, Nissan ada mengumumkan perkhidmatan restorasi istimewa yang dilaksanakan oleh divisyen NISMO. Program tersebut membolehkan pemilik model Skyline klasik untuk merestorasi jentera kesayangan mereka itu dengan sebaik mungkin. 

Baru-baru ini, Nissan mendedahkan satu klip video yang menunjukkan proses terperinci melibatkan kerja-kerja restorasi berkenaan. Ia bermula dengan kereta itu dibuka habis, sebelum kerangka dan chasisnya dicat dengan warna putih. 

Peralatan mengukur 3 dimensi yang canggih juga digunakan untuk mencari sebarang bentuk kecacatan pada chasis, sebelum pembaikan dibuat. Jika pelanggan mahu, mereka boleh meminta pihak NISMO untuk menanggalkan semua komponen kereta dan mencelupnya ke dalam cecair elektrodiposisi yang berfungsi melindungi besi serta menghilangkan karat. 

Proses tersebut tidak berakhir di situ. Satu mesin khas digunakan untuk menguji ketegaran regangan chasis sebelum material penyerap bunyi dipasang.  

Video itu juga menunjukkan kerja-kerja overhaul enjin RB26DETT inline six yang digunakan pada R32 GTR. Enjin berkenaan dibuka sepenuhnya dan dibina kembali menggunakan komponen yang sudah ditambah baik atau baharu. 

Enjin itu kemudian diuji bagi memastikan ia menepati semua kriteria dan prestasi yang telah ditetapkan. Oh ya, sistem suspensi dan brek juga dibina semula sepenuhnya. 

Walaupun dipaparkan secara ringkas di dalam video ini, Nissan turut memasang ruang kabin dengan material sama seperti GTR sekarang. 

Seperti yang dijangka, kos merestorasi jentera itu tidaklah murah. Dalam kes ini, kosnya mencecah 45 juta yen (RM1.7 juta)! 

Google ads
Back to top button