
MITSUBISHI & NISSAN BAKAL LANCAR KEI-KAR EV TAHUN DEPAN. 200KM SEKALI CAJ, HARGA BAWAH RM75K
Mitsubishi dan Nissan dikatakan bersedia melancarkan sebuah model elektrik kecil untuk pasaran Jepun mulai tahun hadapan yang bakal ditawarkan pada harga bawah 2 juta yen (RM75,000).
Media tempatan melaporkan bahawa dua pengeluar kenderaan itu bekerjasama untuk membangunkan sebuah kei-kar elektrik yang berkongsi platform dan pek bateri sama. Jentera berkenaan didakwa dapat bergerak kurang 200km dengan sekali caj.
Selepas ditolak dengan subsidi daripada kerajaan, kereta tersebut mungkin berharga 1.5 juta yen (RM57,000) sahaja.
Sedia maklum pengguna di Jepun sangat sukakan kei-kar dan ia mewakili hampir 40 peratus jualan kenderaan di sana. Jadi, kei-kar elektrik dilihat boleh memainkan peranan penting dalam peralihan pengguna terhadap EV.

Kereta elektrik mampu milik daripada Mitsubishi dan Nissan itu pasti mendapat sambutan hangat daripada pengguna. Sebelum ini, Mitsubishi ada menawarkan model elektrik i-MiEV tetapi pada harga 3 juta yen (RM114,000).
Pengguna di Jepun dijangka menerima beberapa model elektrik baharu tidak lama lagi. Antaranya ialah EV daripada syarikat minyak Idemitsu Kosan yang bakal dijual pada harga bermula 1 juta yen (RM38,000) hingga 1.5 juta yen (RM57,000).
Model C+pod daripada Toyota juga akan tiba di pasaran dengan motor elektrik berkuasa 12.3hp dan ditawarkan pada harga bermula 1.65 juta yen (RM62,000) seunit.