Pandu Uji

PANDU UJI:PERODUA ATIVA AV, LAHIRNYA MAT KACAU SEGMEN A DAN B

Perodua Ativa, atau perkataan Ativa sebenarnya berasal dari perkataan Portugis yang bermaksud Aktif. Jujurnya penulis lagi gemar nama Kembara digunakan semula. Tapi dari segi rekaan dan fungsi, sebenarnya Kembara ada sistem pacuan empat roda yang boleh diaktifkan dengan butang manakala Ativa hanya datang dengan konfigurasi FWD (enjin depan, pacuan depan).

Mungkin anda dah bosan orang bercerita pasal spesifikasi, pasal rekaan, pasal dimensi pasal perbandingan dengan kereta lain dalam segmen dan julat harga yang sama. Penulis akan terangkan dengan panjang lebar berkenaan bagaimana rasa bila pandu uji Ativa ini. Jadi laporan pandu uji ini akan dibuat dalam bentuk poin demi poin. No sugar coated

1. Sistem Kunci Smart Entry – berbeza dengan model sebelumnya, Ativa datang dengan sistem kunci Smart Entry dengan sensor sentuhan. Bermakna kalau anda sentuh sahaja pemegang pintu, kunci Ativa akan terbuka. Tapi hanya sebelah pemandu sahaja, kalau ada sebelah penumpang depan lagi bagus. Kalau bateri alat kawalan habis, anda boleh buat ikut kaedah ini.

2. Rekaan papan pemuka – Rekaan papan pemuka nampak moden walaupun menggunakan plastik keras cuma Perodua ini pandai bermain tekstur permukaan. Tekstur diamond pada radio dan panel tombol gear nampak mahal, pada permukaan pintu pula Perodua gunakan tekstur bulat dot dot. Plastik pada perehat tangan dan pintu pula menggunakan plastik lembut. Kalau guna suede lagi sedap rasanya.

Silver insert dengan lapisan merah pada corong penyaman udara, pemegang pintu, pemegang tombol gear nampak just nice. Krom insert pada tombol gear tak over macam Myvi, sebab kalau terlebih krom ia akan menyebabkan silau masuk dalam mata.

Animasi yang datang pada paparan meter digital semasa enjin dihidupkan memang menarik

3. Kusyen – lebih ergonomik berbanding dengan model Perodua sebelum ini. Badan boleh sandar dan tangan boleh genggam roda stering tanpa perlu tolak bahu ke depan walaupun tak ada fungsi teleskopik. Sokongan pada bahagian belakang selesa sama macam Toyota. Sokongan di bahagian tengah belakang dan bahu terasa penuh.

Model AV datang dengan kusyen balutan kulit dengan suede kelabu dan hiasan warna merah tapi nampak kurang menyerlah. Sokongan di bahagian peha dekat lutut rasa tinggi sikit untuk penulis dengan ketinggian 168cm menyebabkan kaki rasa sedikit tergantung.

Kedudukan pedal minyak dan brek rasa normal. Penulis boleh guna tumit sebagai pivot poin untuk alihkan kaki kanan dari pedal minyak ke pedal brek dengan senang. Ia tak buatkan kaki rasa lenguh kecuali pakai selipar tebal

4. Rekaan stering – datang dengan balutan kulit dengan jahitan benang putih. Tak besar sangat tak kecik sangat. Sedap-sedap sahaja genggam dan nampak lagi moden dari rekaan model sebelum ini. Semua butang di stering akan menyala dengan warna oren waktu malam, termasuk butang kawalan tambahan (ASA) di papan pemuka dan juga tombol gear. Selebihnya butang-butang lain akan menyala dengan warna putih, nampak kurang seragam sedikit di situ

5. Susunan Suis di Stering – sebab ada pembaca tanya jadi penulis huraikan sedikit. Butang sebelah kiri digunakan untuk membuka dan memberi arahan pada kawalan yang diletakkan dalam meter seperti sistem Lane Keep Assist dan Lane Departure Warning. Butang sebelah kanan pula untuk sistem kawalan pemanduan automatik adaptif. Butang audio pula berada di bahagian bawah bagi kawalan suara, menukar stesen radio atau lagu.

Namun agak janggal kerana butang Power untuk mengubah parameter enjin berada di sini. Mungkin butang ini boleh diwarnakan dengan warna Merah untuk membezakannya dengan butang lain. Ramai yang komen berkenaan dengan butang penyaman udara, bagi penulis ia sudah dinaiktaraf kerena butang OFF sudah diberikan. Cuma untuk lagi menarik, keseluruhan kawasan yang menempatkan butang penyaman udara perlu diberikan sentuhan black piano finish.

6. Pengalaman pemanduan.

6.1 Pecutan – 97 kuasa kuda dan 140Nm tork bunyi macam ala tak power pun, tapi bila Ativa mula memecut ia akan memecut dengan kemas. Kalau anda biasa memandu Aruz dan mula memandu Ativa, anda akan menghargai tork yang mula menerjah masuk pada 2400 RPM ini. Tak la macam kereta manual, sebab tork dihantar secara linear untuk pecutan yang sekata. Tapi ia menjadikan Ativa ini lincah, boleh tukar lorong dengan cermat dan memotong dengan bersahaja.

Malah anda perlu mengawal kaki dengan cermat di lebuhraya, kerana tanpa anda sedar anda dah capai halaju sekitar 130-140 dengan bersahaja. Boleh sahaja nak pandu laju, tapi memaksa enjin kecil dengan turbo bekerja keras untuk satu tempoh yang lama bukanlah bijak untuk menjimatkan petrol

Turbo masih perlukan sedikit masa untuk bertindak jika anda mula menekan pedal minyak untuk memecut dari 90-120km dengan pantas. Cara yang mudah ialah slotkan gear dari kedudukan D masuk ke S (Sport) dan turunkan gear sehingga 2 kedudukan. Ia membantu turbo bekerja lebih pantas. Nak lagi power, tekan sahaja butang POWER dan anda boleh rasa sedikit perbezaan pecutan yang lebih bertenaga

6.2 – Gear – terdapat pilihan gear manual jika anda bercadang untuk bermain dengan unit D-CVT 7 kelajuan maya. Penukaran gear boleh dikatakan lancar dan anda boleh gunakan pilihan gear manual untuk memotong, mendaki bukit dan mendapatkan brek enjin ketika menuruni bukit. Selesai bermain dengan 7 ratio, slot semula di kedudukan D.

Gear ACVT ini akan bekerja dengan cermat bagi memastikan enjin bekerja dalam julat 1500-4000 RPM. Kedudukan tombol gear yang tak sampai sejengkal dengan roda stering pun membantu pemandu membuat penukaran gear dengan pantas

6.3 Stering – tindakbalas dari stering adalah OK tidak terasa kaku seperti Myvi Lagi Best. Namun jika anda hidupkan fungsi Lane Keep Assist, anda rasa bagaikan berebut stering dengan sistem. Adalah lebih baik matikan sistem Lane Keep Assist dalam bandar jika tak biasa ATAU mulakan berlatih dengan memandu dengan sentiasa menggunakan signal.

6.4 Brek – mungkin disebabkan pelapik brek masih baru (jarak perjalanan sekitar 1800km) kuasa membrek Ativa dirasakan sedikit kurang menyengat mengikut feel penulis dan dibandingkan dengan Toyota Vios milik penulis yang menggunakan brek cakera di belakang. Ativa menggunakan brek dram di bahagian belakang dan penulis perlu menekan pedal dengan lebih kemas untuk kuasa brek tambahan

6.5 Ride – atau keselesaan agak kurang kerana tayar Bridgestone Turanza bersaiz 205/60 R17 terasa agak keras dengan tekanan 240Kpa. Penulis merasakan tekanan angin yang selesa ialah 230Kpa di depan dan 220Kpa di belakang, namun mengubah tekanan angin tayar akan menyebabkan purata penggunaan petrol akan terganggu sedikit. Dengan tekanan 230Kpa (depan)/220Kpa (belakang) Ativa rasa selesa

6.6 Handling – anda perlu ingat jarak antara roda bagi Ativa ialah 2525mm, OK kalau untuk sebuah kereta kompak atau sedan. Namun bagi sebuah crossover dengan tayar besar ia menghasilkan 2 kesan. 1 positif dan 1 kurang positif. Ativa boleh membelok dengan pantas dan radius putaran yang kecil (5.1meter) memudahkan Ativa diparkir. Ativa terasa lincah di atas jalan

Tapi dengan jarak antara roda 2525mm, jika anda melalui selekoh dengan laju yang normal dengan permukaan jalan yang tidak rata seperti kereta sedan atau kompak, bahagian belakang akan terasa sedikit melambung (unsettle). Sebagai perbandingan Myvi datang dengan jarak antara permukaan jalan 160mm, Ativa 200mm dan Aruz 220mm. Jadi pusat graviti Ativa tinggi sedikit berbanding Myvi dan rendah sedikit berbanding Aruz

Cubaan penulis membelasah beberapa selekoh telah berakhir dengan amaran dari anak sulung “Abah jangan laju, nanti polis saman”. Tapi jika anda ingin menukar tayar, boleh cuba tayar dengan siri 55 berbanding siri 60. Setakat ini Mazda CX-30 adalah contoh terbaik crossover yang cemerlang dari aspek Ride dan Handling.

7. Keselesaan pemanduan– jika dibandingkan dengan Aruz, Myvi, Alza, dan Bezza boleh dikatakan Ativa paling selesa dan sedap dipandu untuk jarak jauh. Kusyen yang selesa, perehat tangan, kedudukan tombol gear dan stering yang ergonomik membolehkan anda memandu 3-4 jam tanpa masalah. Jika sistem ASA 3.0 mengesan anda banyak sangat cuai atau leka, ia akan mencadangkan anda untuk berhenti rehat. Untuk pemanduan jarak jauh, sistem Adaptive Auto Cruise sangat membantu.

8. Sistem Keselamatan – sistem amaran brek pra perlanggaran dan brek pra perlanggaran sempat berfungsi dengan cemerlang bila penulis sengaja melakukan provokasi, dan sistem Lane Departure Watch akan sentiasa memastikan penulis sentiasa menggunakan signal bila menukar lorong pemanduan. Sistem RCTA akan memberikan amaran kehadiran kereta ketika mengundur dan Sistem Amaran Titik Buta cemerlang dalam memberikan amaran kehadiran motosikal.

9. Kadar Bunyi, Gegaran dan Kekasaran

9.1 Bunyi – kadar bunyi ialah sekitar 40.2 dB ketika enjin mula dihidupkan, 65dB dalam halaju sekitar 70-80km/jam dan 73 dB pada halaju 110-120km/jam. Bunyi tayar kurang terasa sangat memandangkan Bridgestone Turanza ini memang fokus keselesaan. Ketika memandu bunyi angin pada cermin depan adalah penyumbang terbesar pada kadar kebisingan. Setakat ini Proton X70 masih terbaik dalam aspek bunyi dengan sekitar 60dB sahaja pada 110km/j

9.4 Gegaran – Enjin 3 silinder tak seimbang dan tak harmoni. 2 piston naik ke atas dan satu turun ke bawah. Jadi dalam keadaan melahu sekitar 800 RPM, akan terasa gegaran pada roda steering dan kusyen depan. Bila pemampat penyaman udara mula bekerja, gegaran akan lebih terasa. Keadaan ini sama seperti Nissan Almera baru. Tapi sebaik sahaja Ativa mulai bergerak, gegaran tadi langsung hilang.

Bacaan RPM pada halaju 60-80km/j berada antara 1500-2000 RPM, 110km/h pada 2500RPM dan 120km/h pada 3000 RPM

9.5 Kekasaran (Harshness) – setakat yang penulis uji, tiada bunyi pelik pelik muncul ketika melalui jalan tidak rata atau bonggol. Cuma tayar dengan tekanan 240Kpa sahaja rasa memberikan sedikit gangguan.

10. Keselesaan Penumpang – ruang bagasi ada 369 liter, cukup untuk beberapa beg besar. Atau kalau anda pandai gunakan beg kain sebab boleh sumbat lebih banyak beg. Penumpang belakang ada ruang yang cukup untuk bersandar dengan 2 tetapan sudut. Bagi penulis, ada 10cm antara lutut dengan penyandar kusyen depan. 2 pengecas USB ada di belakang dan 2 ada di depan, cukup untuk semua orang.

Penumpang belakang di bahagian tengah masih selesa sebab ada perehat kepala disediakan dan kusyen adalah jenis rata. Kalau sesetengah model, rasa seperti duduk atas batang pisang. Penumpang belakang dan ruang kargo dipisahkan dengan pelapik yang boleh lipat, senang nak capai barang dari ruang bonet.

11. Lampu depan LED/Adaptive Driving Beam kami telah menulis panjang lebar berkenaan lampu pintar LED di SINI. Setiap lampu Ativa datang dengan 8 mentol LED. Namun dalam keadaan biasa hanya 2 mentol sahaja dihidupkan. 6 mentol lagi akan hidup berdasarkan keadaan pencahayaan jalan. Ia mungkin menyalakan lampu tinggi di kiri, tapi lampu rendah di kanan.

Atau selepas tiada kereta lain, lampu tinggi sebelah kanan akan hidup. Jika anda memasuki parkir, lampu selekoh akan dinyalakan mengikut arah stering. Lampu signal menggunakan kaedah sequence lighting macam kereta mahal. Lampu kabus pun datang dengan lampu LED. Pendek kata Ativa ni dah terlebih lampu.

12. Sistem Audio dan Unit Media – untuk kebanyakan masa, penulis hanya menggunakan sambungan Bluetooth dan kualiti bunyi sekadar Ok la. Namun siaran radio agak kurang jelas

13. Penggunaan Petrol – dengan halaju sekitar 90-110km/j Ativa mencatatkan bacaan petrol sekitar 15.4km per liter dengan tekanan tayar 230kpa depan dan 220 Kpa belakang. Kami anggarkan bacaan petrol bertambah baik selepas 10,000km dan tekanan tayar 240kpa Ativa boleh capai bacaan 18.9km per liter

Nak beli atau baik beli model lain? Perodua Ativa AV ni sebenarnya bila diperkenalkan harganya memang kacau pasaran dan harga. Sebab dengan harga RM 71,200 anda dapat enjin 1000cc turbo, transmisi D-CVT, sistem ASA 3.0 merangkumi (Brek AEB, amaran perlanggaran, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Keep Assist, Rear Cross Trafic Alert, Blind Spot Monitor, 6 beg udara, dan macam-macam lagi

Nak lagi menarik kandungan tempatan capai 95%, pusat servis bersepah-sepah di merata ceruk, dan harga mampu milik. Memang kacau habis market sedan, kereta kompak dan SUV. Agak-agak ada kereta lain yang boleh bagi tawaran macam Perodua Ativa AV?

Google ads
Back to top button