Buletin

NISSAN PERKENAL LCV TOWNSTAR. GANTI MODEL NV, PILIHAN ENJIN ICE DAN EV

Nissan memperkenalkan rangkaian kenderaan komersial terbaharunya, Townstar yang akan ditawarkan dengan pilihan enjin pembakaran dalaman dan elektrik (BEV). 

Pengeluar dari Jepun itu juga telah mengemas kini model LCV mereka dengan melancarkan Primastar dan Interstar yang bakal menggantikan rangkaian model NV. 

Nissan menyifatkan Townstar sebagai tawaran LCV paling komprehensif setakat ini. Ia hadir dalam versi komersial penumpang. Varian petrol menggunakan enjin 1.3 liter berkuasa 130hp dan tork 240Nm. Sementara versi EV pula digerakkan oleh motor berkuasa 122hp dan tork 245Nm. EV itu didakwa mampu menawarkan jarak sejauh 177km  dengan sekali caj. 

Townstar dibina di atas platform CMF-E dengan rekaan yang kemas. Ia dilengkapi beberapa ciri bantuan pemandu seperti Side Wind Assist serta Trailer Sway Assist. Selain brek kecemasan pintar bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal. 

Ciri-ciri kemudahan seperti parkir automatik, kawalan jelajah adaptif dan kamera parkir 360 darjah akan dipasang pada Townstar.

Versi EV pula akan menampilkan ciri semi autonomi Nissan ProPILOT. Model petrol didatangkan bersama skrin sentuh 8 inci dan 8 inci untuk EV. Apple CarPlay, Android Auto dan pengecasan tanpa wayar dipasang sebagai ciri standard untuk semua varian.   

Dengan ruang seluas 4,300 liter, Townstar menawarkan bahagian kargo lebih luas berbanding NV200. Ia juga boleh mengangkut barang sehingga 800kg dengan keupayaan menunda mencecah 1,500kg. Ruang kargo boleh diakses melalui pintu gelongsor pada bahagian sisi atau pintu belakang.

Nissan masih belum mengumumkan harga Townstar, tetapi ia dijangka hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 100,000km. Manakala varian EV didatangkan dengan jaminan bateri selama 8 tahun dan perbatuan sejauh 160,000km. 

GALERI

Google ads
Back to top button