" "
Buletin Khas

TEKNOLOGI HIBRID, JAMBATAN KEPADA TEKNOLOGI EV YANG MAMPU MILIK

Walaupun dengan keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan serta kesan tsunami COVID 19 yang masih belum surut, pasaran automotif Malaysia terus menyaksikan beberapa model baru dilancarkan terutama dalam segmen kereta elektrik EV.

Bagi mengurangkan impak pelepasan gas karbon dioksida yang terus merosakkan alam sekitar dan menghasilkan perubahan cuaca yang ekstrem, adaptasi kepada kereta elektrik perlu dipercepatkan sebelum Malaysia ketinggalan jauh dalam penggunaan EV.

Ada beberapa sebab mengapa kita menyaksikan hanya jenama mahal dan model mahal EV sahaja yang diperkenalkan oleh pemain industri automotif terkemuka dunia. Model EV yang mahal akan dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit, menjamin kualiti pemasangan yang bagus

Keuntungan jualan daripada EV yang mahal dan premium ini akan digunakan kembali bagi pembangunan EV mampu milik. Tapi definasi EV mampu milik ini sebenarnya bergantung pada pasaran sesebuah negara. Jika sebuah EV berharga 20,000 USD di negara lain, di negara kita ia mungkin sam harga dengan sebuah SUV mewah.

Sistem pengecasan pantas DC

Tambahan pula dengan keadaan fasiliti sistem pengecasan penuh di negara kita yang masih lagi berkurangan berbanding dengan negara maju, keadaan ini akan menyebabkan pengguna berfikir beberapa kali sebelum bertukar daripada kenderaan konvensional kepada EV sepenuhnya.

Apatah lagi dengan isu β€œrange anxiety” serta masa pengecasan yang agak perlahan. Malah EV mampu milik di India iaitu Tata Tigor EV memerlukan selama 65 minit untuk dicaj sepenuhnya dengan sistem pengecasan pantas. Gabungan dua faktor ini menyebabkan kami yakin kereta teknologi hibrid memiliki potensi pasaran yang sangat besar di Malaysia.

Sebagai contoh jika kita menggunakan PHEV atau plug in hybrid, kenderaan kita akan berfungsi sebagai sebuah EV sepenuhnya apabila ia dicaj penuh. Sekurang-kurangnya ia mampu berfungsi sebagai sebuah EV sehingga beberapa puluh kilometer, sudah cukup untuk pemanduan seharian.

Bagi perjalanan jarak jauh, pemandu tidak perlu risau berkenaan dengan jarak perjalanan maksimum kerana ia masih dilengkapi dengan enjin pembakaran dalam. Proses pengisian semula petrol boleh dibuat dalam masa beberapa minit sahaja dan ketika membrek, bateri sistem akan dicas semula menerusi proses brek regeneratif.

Enjin 2ZR-FXE kitaran Atkinson

Bagi kenderaan hibrid biasa ia akan dipasang dengan enjin pembakaran biasa dan akan ditemani dengan sistem motor elektrik serta bateri. Mungkin ramai yang akan skeptikal bagaimana sebuah kereta hibrid mampu mengurangkan impak pencemaran alam sekitar dan pada masa yang sama masih memenuhi keperluan pengguna untuk bekerja, berhibur dan melancong.

Jawapannya ialah teknologi enjin hibrid telah dipelopori oleh Toyota terutama teknologi Hybrid Synergy Drive direka khusus untuk meminimakan pelepasan asap sebaik mungkin. Enjin kereta hibrid Toyota dihasilkan dengan nisbah mampatan yang lebih tinggi, beroperasi dengan kitaran enjin Atkinson yang lebih cekap, menghasilkan kecekapan therma yang tinggi sehingga mencecah 40 peratus,  seperti yang  kita boleh lihat pada model Corolla Cross Hybrid dan Camry hybrid.

Jika dibandingkan dengan enjin Toyota Camry petrol biasa yang menggunakan kitaran Otto, ia akan beroperasi dengan kecekapan therma 30 peratus sahaja. Tork daripada motor elektrik dalam Hybrid Synergy Drive akan membantu menghasilkan pecutan tangkas pada kereta, lebih kuat daripada kereta biasa dan juga lebih bersih iaitu sekitar 50gram  gas karbon dioksida per kilometer, bergantung kepada model.

Seperti biasa kami berteori yang Toyota hanya akan memperkenalkan kereta berkuasa elektrik apabila teknologi EV sudah matang, boleh dihasilkan dengan kos lebih murah, tapi berkualiti tinggi, boleh dicaj dengan pantas dan mampu dipandu dalam jarak yang Β jarak jauh.

Sebelum EV dilancarkan dan digunakan secara maksimum, kenderaan berkuasa hibrid wajar dipertimbangkan oleh pengguna. Kami rasakan sudah tiba masanya lebih banyak pemain automotif Malaysia menghasilkan kereta berkuasa hibrid pada harga mampu milik bagi menjadikan trenkuasa hibrid adalah satu perkara yang normal dalam bentuk kereta kompak, sedan, SUV mahupun MPV.

Jika kita tidak berbuat sesuatu berkenaan dengan penjagaan dan kelestarian alam semula jadi, rasanya adalah salah bagi kita mewariskan bumi yang tercemar pada anak-anak kita satu hari nanti.

Google ads
Back to top button