
NISSAN ‘IKAT’ PAKAR BAU. NAK SEMPURNAKAN BAU KENDERAAN BAHARU
Deria manusia ni pelik sikit. Boleh dikatakan majoriti pemilik kenderaan menggemari bau kabin jentera baharu dibeli mereka.
Bauan kereta baharu itu dikenali sebagai off-gassing ataupun bau yang dikeluarkan bahan kimia daripada plastik mahupun fabrik digunakan pada kenderaan berkenaan.
Biarpun, beberapa kajian mencadangkan wangian dikeluarkan daripada kenderaan baharu bukanlah sesuatu yang menyihatkan tetapi ia memainkan peranan penting dalam penjualan kenderaan.

Terbaharu, syarikat pengeluar Jepun, Nissan telah melantik Peter Karl Eastland yang memainkan peranan sebagai ‘Ketua Jurutera Penilaian Bau’.
Dia merupakan pemegang ijazah sarjana Sains Forensik daripada Universiti Leicester, United Kingdom (UK) dan memiliki deria bau yang sangat tajam.

Secara ringkas, tugas lelaki terbabit adalah untuk membau kenderaan baharu dan komponen dalaman sebelum ia ‘dilepaskan’ di pasaran.
Nampak mudah tetapi dia memainkan peranan lebih penting kerana perlu memastikan setiap bahan yang dipilih menyumbang kepada bauan selesa di dalam kenderaan.

“Ia merupakan sebahagian daripada tugas kami untuk memastikan bahan digunakan sentiasa sempurna dari segi bau dan kesemua bau digabungkan dalam suasana harmoni.
“Salah satu tugas penting saya adalah menilai bahan dalam memastikan pelanggan menjadi tumpuan kami.
“Dengan perubahan dan reka bentuk baharu, bau berpotensi perlu menjadi sebahagian daripada penilaian lebih luas terhadap keberkesanan perubahan tersebut,” kata Eastland. – carscoops