Buletin

NISSAN R. TRAK PIKAP DENGAN ENJIN GT-R BERKUASA 1,000HP

Menukar enjin Nissan GT-R ke dalam kereta lain bukanlah satu perkara baru. Kita pernah melihat enjin 3.8 liter turbo berkembar V6 itu dimasukkan ke dalam sebuah Toyota 86 untuk memberi kuasa luar biasa kepada model sport entry level itu. 

Tetapi, bagaimana jika enjin turbo berkembar 3.6 liter dipasang pada sebuah trak pikap?

SB Motorsport yang berpangkalan di UK dilihat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh kuarantin COVID-19 dengan membina sebuah Navara dengan enjin GT-R. 

Ia menjadi projek SB Motorsport yang paling mencabar setakat ini. Enjin diesel asal Navara diganti dengan enjin GT-R yang kemudian ditala untuk menjana kuasa sehingga 1,000hp. Lebih menarik lagi, ia sah digunakan di atas jalan raya biasa di sana. 

Navara itu juga dipasang dengan chasis, sistem pacuan semua roda dan transmisi klac berkembar GT-R yang telah diubah suai. “Projek ini sebenarnya sudah lama dirancang. Memandangkan aktiviti perlumbaan terpaksa dibatalkan, kami menggunakan masa yang terluang untuk merealisasikannya. 

“Kami mempunyai rakan-rakan yang hebat dan mereka berkongsi visi untuk menghasilkan satu lagi kenderaan luar biasa dan mengubah kebiasaan. Jentera ini akan menggabungkan aspek prestasi dan praktikaliti” kata Pengasas SB Motorsport, Stephen Biagioni. 

Diberi nama Navara R, projek itu nyata mencabar keupayaan pasukan di Sb Motorsport. Semua komponennya merupakan lebihan daripada kereta drift Nissan GT-R dan satu kit suspensi baharu KW dipasang.

Imej render yang disedia menunjukkan Navara R hadir dengan splitter hadapan, suspensi direndakan dan wing belakang yang besar. 

SB Motorsport mensasarkan untuk menyiapkan projek itu menjelang akhir tahun ini. 

Tags
Google ads
Back to top button