Buletin

NISSAN MUNGKIN KUBURKAN GT-R DAN 370Z DI EROPAH UNTUK KURANGKAN KOS

Nissan dilapor akan mengemas kini barisan produknya di Eropah dengan menguburkan beberapa model ikonik seperti GT-R, 370 dan trak pikap Navara. Pelan itu dijangka bermula seawal hujung bulan ini. 

Sebagai sebahagian daripada strategi produk baharu, Nissan dan Renault akan fokus kepada segmen kenderaan berbeza di pasaran Eropah. Nissan akan bertanggungjawab ke atas model-model crossover. Sementara Renault memperkenalkan segmen kereta kompak dan kenderaan komersial. 

Kedua-dua buah syarikat tersebut akan berkongsi teknologi, tetapi menghasilkan model secara berasingan untuk memastikan produk mereka terus memiliki identiti tersendiri. 

Justeru, pengguna di sana bakal menyaksikan barisan model Nissan terdiri daripada Qashqai, Juke, X-Trail dan Ariya. Ia juga akan menjual beberapa kenderaan Renault yang dijenamakan semula. 

Menurut Reuters, Eropah hanya mewakili 10 peratus daripada perniagaan Nissan di seluruh dunia. “Kami perlu berada di Eropah untuk terus mengikuti perkembangan teknologi dan garis panduan terkini. Walaupun kami tidak akan menyaksikan pertumbuan besar,” kata Nissan. 

Pada masa depan, Nissan mahu satu pertiga jualannya datang dari Amerika Syarikat dan satu pertiga lagi di China dan bakinya dari pasaran lain di seluruh dunia. Dalam melaksanakan strategi ini, Nissan terpaksa menutup beberapa buah kilang, termasuklah di Barcelona, Sepanyol. Jenama Datsun juga akan dikuburkan. 

Terdahulu, timbul laporan bahawa Renault akan menghentikan beberapa model seperti Espace, Scenic dan Talisman kerana jualan yang kian merudum. Megane pun mungkin bakal menerima nasib yang sama. Renault berpendapat penawaran banyak model bukan lagi satu pelan perniagaan yang mapan. 

Google ads
Back to top button