Artikel Pilihan

NISSAN ALMERA, APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI….

Nissan Almera ialah kereta yang sangat popular dan laris. Anda boleh jumpa Almera sebagai kereta seru pandu, kereta sewa di lapangan terbang, kereta syarikat, teksi dan dimana – mana sahaja oksigen wujud waima di Amerika sekalipun. Tapi model lama dah di penghujung hayat, kalau tak kerana COVID-19 ini mungkin kita sudah boleh menempah Almera baru.

Jadi apa yang kita boleh agak dengan ciri-ciri Almera serba baru ini apabila di masuk ke pasaran Malaysia esok lusa tulat.

1. Almera merupakan model global yang dipasarkan di seluruh dunia. Ia juga dikenali dengan nama Nissan Sunny dan Versa ataupun N18. Cuma ia akan dipasarkan dengan enjin dan transmisi yang berbeza mengikut kehendak pasaran yang dijual.

2. Bagi pasaran Thailand, ia akan dijual dibawah skim kereta Low Cost Green Car yang menekankan penjimatan bahan api dan juga mengurangkan pencemaran udara. Jadi ia dibekalkan dengan enjin 1000cc 3 silinder turbo yang menghasilkan 100 kuasa kuda dan 152Nm tork dengan transmisi CVT

3. Bagi pasaran Amerika, ia dipadankan dengan enjin 1600cc yang menghasilkan 118 kuasa kuda dan teknologi pemasaan injap. Enjin 1500cc pula akan menghasilkan 101 kuasa kuda dan 134Nm tork. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi 4 kelajuan automatik. Kami rasa, pasaran Malaysia akan mendapat enjin 1500cc, untuk menjadikannya murah.

4. Di Malaysia ia akan bersaing dalam Segmen B yang popular dengan Vios, City, Mazda dan juga Myvi (kompak segmen B). Rekaan terbaru ini mengenakan falsafah V Motion yang nampak lebih terkini dan meyakinkan bakal pembeli. Unsur sporti, garisan tajam, floating roof dan rekaan rim aloi nampak harmoni antara satu sama lain.

Ia juga lebih panjang pada 4495mm, lebih lebar dengan 1740mm dan lebih rendah pada 1460mm. Ruang dalaman pula lebih besar dengan jarak antara roda pada 2620mm. Ruang kargo kekal pada 490 liter, masih jauh di belakang City dengan angka 536 liter.

5. Bergantung pada varian, rekaan dalaman Almera nampak lebih moden berbanding dengan generasi N17 terutama rekaan papan pemuka yang ringkas tapi moden. Janganlah harap dapat papan pemuka dengan balutan kulit, tapi rekaan meter gabungan digital dan analog memang sedap untuk dipandang lama-lama.

Ruang tengah papan pemuka didominasi dengan sistem infotainmen bersaiz 7 inci dengan suis analog dan digital. Ia diapit dengan corong penyaman udara di bahagian atas dan suis kawalan penyaman udara di bawah. Bagi spesifikasi Thai, ada 3 punca kuasa USB iaitu satu di papan pemuka dan 2 di konsol tengah.

Varian termahal ditawarkan dengan ciri Apple Car Play serta 6 pembesar suara

6. Bagi varian paling mahal, lampu depan dan lampu kabus akan menggunakan LED sebagai sumber pencahayaan yang digandingkan dengan reflektor. Lampu belakang juga direka dengan menarik bersama dengan LED. Secara peribadi rekaan Almera ini nampak lebih menyerlah berbanding City baharu

7. Dalam aspek keselamatan pintar, versi paling mahal akan dilengkapi dengan ciri Nissan Intelligent Mobilty yang merangkumi sistem kamera 360 darjah dengan bunyi amaran, sistem amaran pra-perlanggaran, sistem brek pra-perlanggaran, sistem amaran lintasan trafik belakang, dan sistem amaran titik buta.

Vios tidak menawarkan sistem amaran pra-perlanggaran dan sistem brek perlanggaran. City 2020 juga tidak menawarkan ciri ini. Mazda 2 hanya menawarkan ciri G-Vectoring Control. Hanya Myvi sahaja yang menawarkan sistem Advanced Safety Assist. Power Myvi nih.

8. Juga berdasarkan varian yang ditawarkan di Thai, Almera 2020 akan datang dengan 6 beg udara, sistem Vehicle Dynamic Control, Brek ABS, Electronic Brake Force Distribution serta cagak ISOFIX untuk pemasangan kerusi bayi. Anda boleh menilai ujian perlanggaran Almera di SINI

9. Dalam aspek pengendalian, ia akan dipasang dengan tayar bersaiz 195/65 dengan jejari 15 inci. Jika dibanding dengan versi N17, tayar yang digunakan adalah 10mm lebih lebar. Suspensi belakang pula dilengkapkan dengan bar penstabil pada bahagian belakang walaupun hanya menggunakan sistem torsion beam sahaja.

Jadi penulis merasakan dinamik cesi Almera baru di laluan berselekoh lebih seronok dan mudah dikawal.

10. Terdapat 2 varian Almera N17 yang dijual di Malaysia sekarang dangan harga antara RM 68 ribu dan RM 77 ribu. Di Thailand ia ditawarkan dengan 5 varian dengan harga antara RM 68 ribu ke RM 87 ribu. Sekiranya Almera baru ditawarkan dengan enjin 1000cc turbo, maka penulis menjangkakan ia mungkin menjadi lebih mahal berbanding dengan model lama.

Tapi jika ia ditawarkan dengan enjin 1500cc sahaja, harganya tidaklah semahal pesaingnya yang lain namun akan masih meningkat disebabkan Nissan sudah menaiktaraf ciri keselamatan seperti Vehicle Dynamic Control. Pada pendapat penulis ia akan ditawarkan antara harga RM 70 ribu ke RM 90 ribu.

Tags
Google ads
Back to top button