
NISSAN ROOX 2023, GRIL V-MOTION BAHARU, RM54 RIBU HINGGA RM81 RIBU!
Pada 16 Mac lalu Nissan memperkenalkan Roox 2023 dengan perubahan minor dan kini tampil dengan maklumat lebih terperinci.
Roox merupakan produk usaha sama di antara Nissan Motor Co., Ltd. dan Mitsubishi Motors Corporation. Kei-car itu (kereta mini) dibangunkan Nissan di bawah pengurusan syarikat NMKV.
Kembar dari Mitsubishi dikenali sebagai eK Space dan model 2023 diperkenalkan pada 6 April lepas.
Ada dua versi utama Roox yang ditawarkan iaitu Highway Star yang menyerlah dengan gril V-Motion baharu dan tampil agresif.
Satu lagi pilihan Roox standard dengan bahagian depan menyamai eK Space kecuali gril.
Kedua-dua model Roox menggunakan lampu depan berbeza dan disatukan bersama gril untuk gaya ala tiga dimensi.
Pada bahagian dalam, Nissan menggunakan warna baharu pada papan pemuka, kemasan pintu dan fabrik kerusi.
Papan pemuka Roox Highway STAR G Turbo dan Highway STAR G Turbo Pro Pilot Edition dibalut bahan seperti kulit dan nampak premium dengan sulaman merah.
Pembeli Roox ditawarkan cermin pandang belakang pintar untuk pandangan yang jelas walaupun pandangan belakang terhalang atau di dalam cuaca buruk.
Cermin pandang belakang pemalapan automatik dijadikan ciri standard untuk kesemua varian.
Comfort Pack yang digemari ramai pelanggan dan sebelum ini pakej pilihan kini ditawarkan pada Roox Highway Star.
Pakej itu terdiri daripada penyaman udara belakang dengan teknologi Plasmacluster, meja, pemegang cawan, slot USB, penghadang matahari dan balutan tidak telap air.
Stereng balutan kulit dengan fungsi pemanas ditawarkan sebagai pilihan untuk Roox pacuan dua roda (2WD) dan standard pada model pacuan empat roda (4WD).
Nissan juga menawarkan perakam pemanduan dengan dua kamera di depan dan belakang.
Roox digerakkan dua jenis enjin iaitu BR06 660cc dengan motor hibrid SM21 atau BR06 660cc intercooler turbo dan transmisi Xtronic CVT. Kedua-dua enjin boleh dipadan dengan pacuan 2WD atau 4WD.
Berada pada susunan tertinggi, Nissan menawarkan Roox Highway Star Urban Chrome yang tampil istimewa dengan gril depan krom gelap dan roda aluminium eksklusif saiz 15 inci.
Bahagian dalam dilengkapi kerusi kalis air dan secara keseluruhannya ada sepuluh warna badan termasuk tiga pilihan warna dua tona.
Selain itu, Nissan turut menawarkan model Life Care Vehicle (LV) dengan kerusi penumpang yang boleh dikeluarkan dan pemijak sisi automatik.
Nissan menawarkan sejumlah varian dengan pilihan asas Roox S dijual pada harga 1,637,900 yen (RM54,255).
Varian premium Highway Star G Turbo ProPilot Edition dengan pemijak sisi automatik pula berharga 2,454,100 yen (RM81,303).
Kredit foto: Nissan
BACA: NISSAN GT-R G-SHOCK 2023, TAK SAMPAI RM700! BOLEH KIRIM TAK?
BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!
BACA: NISSAN ‘SUDDEN ACCELERATION SUPPRESION ASSIST’ BANTU KETIKA TERSALAH PIJAK PEDAL!
BACA: MITSUBISHI EK SPACE 2023 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM51.6 RIBU!















































