
PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!
Satu daripada kenderaan utiliti sukan (SUV) buatan Jepun yang popular sekarang ini ialah Nissan X-Trail dan konsisten dipasarkan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sejak generasi pertama.
Saingan utama X-Trail ialah Honda CR-V dari generasi pertama lagi. Satu kelebihan X-Trail (generasi ketiga) yang tiada pada CR-V ialah pilihan tujuh tempat duduk dan enjin hibrid.
Dari segi sejarah, X-Trail generasi pertama diperkenalkan di Paris pada 2000 dan merentasi dua dekad sudah mempunyai empat generasi.
Di negara kita dan banyak pasaran lain, generasi keempat masih belum ditawarkan.

Di antara pasaran yang sudah menerima X-Trail baharu ialah Amerika Syarikat (Nissan Rogue), Jepun, Eropah China dan Australia.
Terbaru X-Trail bakal memasuki pasaran Timur Tengah dan sempena pengenalannya Nissan menyorot sejarah X-Trail sejak generasi pertama.
Identiti SUV ini menggabungkan dua elemen iaitu X dan Trail dengan X merujuk kepada gaya hidup aktif pemiliknya manakala Trail memberi maksud laluan atau jalan yang mencabar.
Untuk dua generasi awal, X-Trail membawakan gaya berkotak dan rugged seperti jip atau pacuan empat roda 80-an.
2001: Sistem Pacuan Empat Roda Elektronik Pertama Untuk Sebuah SUV Kompak
X-Trail dilancarkan pada 2001 dan membawa konsep sebuah SUV 4×4 kompak tulen dengan membawa keseimbangan reka bentuk di antara jalan raya dan laluan lasak.
Satu cari yang menonjol pada X-Trail ialah sistem ALL MODE 4×4 yang dibangunkan untuk melalui pelbagai bentuk muka bumi dengan selamat dan bersahaja.
Teknologi itu merupakan sistem pacuan empat roda elektronik pertama di dalam sebuah 4×4 kompak dan berasaskan prinsip sama seperti sistem yang digunakan pada Nissan Skyline GT-R.
Ciri-ciri sistem Nissan ALL MODE 4X4:
- Mampu menjangkakan kehilangan cengkaman roda dan lengahan masa hanya dalam tempoh sangat singkat dan berbeza pada sistem pacuan empat roda automatik pada masa itu yang mengambil masa untuk diaktifkan. Sistem elektronik dari Nissan memastikan kuasa dihantar kepada setiap roda secara pantas.
- Di dalam keadaan biasa, X-Trail dipacu roda depan untuk menjimatkan tenaga dan bahan api. Sebaik sahaja sistem elektronik mengesan gelinciran, kuasa akan dibahagikan di antara kedua-dua gandar.
- Fungsi 2WD, Lock atau Auto 4×4 diaktifkan melalui butang pada papan pemuka. Mod Auto akan membahagikan tujahan kepada setiap gandar secara automatik mengikut keadaan permukaan jalan. Mod Lock untuk keadaan ekstrem atau laluan off-road dengan kuasa ditetapkan pada nisbah 57:43 depan dan belakang. Sistem akan kembali kepada mod Auto secara automatik apabila kelajuan semakin bertambah.
2007: Teknologi 4×4 Dengan Tombol Berputar
Dilancarkan pada 2007, generasi kedua X-Trail direka untuk mengalihkan pandangan pelanggan muda terhadap SUV kompak.
Reka bentuknya masih berkotak namun membawa elemen urban. Selain itu, panel instrumen yang sebelum ini berada di tengah papan pemuka dialihkan ke depan pemandu.
Sistem pacuan empat roda telah dinaik taraf dan lebih mudah untuk digunakan dengan tombol pada konsol tengah untuk membuat pilihan pacuan dua roda atau mod automatik.
2014: SUV Terlaris Di Dunia!
X-Trail generasi ketiga diperkenalkan buat kali pertama pada 2014. Model terbaru ini membawa gayaan yang langsung berbeza atau sebagai sebuah SUV urban dan tampil lebih premium.
X-Trail ini juga canggih dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility dan sistem navigasi NissanConnect.Â
ETCM melancarkan X-Trail pada 2015 dan menariknya menawarkan versi tujuh tempat duduk. Sempena model wajah baharu yang diperkenalkan pada 2019, ETCM turut menawarkan varian hibrid.
Model generasi ketiga juga menyaksikan X-Trail menjadi SUV paling laris di dunia di dalam segmen dengan jualan melebihi tiga juta unit di serata dunia.
2022: X-Trail Generasi Keempat
Selepas beberapa pasaran utama dunia, X-Trail baharu akan dilancarkan di Timur Tengah pada awal tahun ini.Â
Reka bentuk dengan gaya depan V-Motion tampil lebih agresif dan digabungkan dengan bentuk berkotak dan menjadikannya sebuah SUV rugged.
Spesifikasi teknikal belum didedahkan dan setakat ini X-Trail digerakkan enjin aspirasi normal 2.5 liter, 1.5 liter turbo tiga silinder mild hybrid dan 1.5 liter turbo tiga silinder e-POWER.
Kredit foto: Nissan
BACA:Â PADA 1969 NISSAN SKYLINE 2000GT-R DIPERKENAL, 4 PINTU SEBELUM 2 PINTU
BACA: PADA 2001 NISSAN SKYLINE V35 DIPERKENAL, SEDAN KEMBALI!
BACA:Â NISSAN X-TRAIL 2022 MASUK AUSTRALIA, ENJIN 2.5L, TANPA E-POWER, DARIPADA RM108K







