
NISSAN ‘SUDDEN ACCELERATION SUPPRESION ASSIST’ BANTU KETIKA TERSALAH PIJAK PEDAL!
Kejadian tersalah tekan pedal pemecut tidak boleh dipandang ringan. Bagi menanganinya, beberapa pengeluar kereta sudah melengkapi model masing-masing dengan teknologi yang dapat mencegah atau mengurangkan impak sekiranya pemandu tersalah tekan pedal pemecut.
Satu perkembangan menarik apabila Nissan telah membangunkan teknologi perkakasan baharu yang boleh mengesan pecutan secara mengejut akibat terlebih tekan atau tersalah tekan pada kelajuan rendah.
Perkakasan tersebut yang dikenali sebagai Sudden Acceleration Suppression Assist dibangunkan untuk dipasang pada kenderaan yang sudah berada di jalanan.
Perkakasan itu ditawarkan untuk model elektrik dan e-POWER dan dimulakan oleh Note e-POWER sebelum diperluaskan kepada model lain secara berperingkat.
Nissan sebelum ini telah membangunkan pelbagai teknologi pengelakan pelanggaran seperti Intelligent Emergency Braking, Collision Prevention Assist for Pedal Misapplication dan Additional Acceleration Suppression Assist yang berfungsi apabila sistem mengesan halangan.
Teknologi terbaru ini pula berfungsi dengan mengesan operasi pecutan secara mengejut yang berpunca dari terlebih tekan atau tersalah tekan pedal pemecut apabila kenderaan bergerak pada kelajuan 30 km/j dan ke bawah tanpa mengira wujudnya halangan atau tidak.
Sistem itu berfungsi dengan menyekat pecutan melalui pengurangan daya kilas dari motor.
Teknologi itu dibangunkan bagi mencegah kemalangan di luar jangkaan akibat tersalah pijak pedal dan mengurangkan kerosakan.
Selain itu, semasa sistem menyekat pecutan, bunyi bazer dikeluarkan (pemanduan ke depan) dan lampu dengan imej kura-kura dinyalakan pada panel meter bagi memberi peringatan kepada pemandu untuk menekan pedal brek.
Di dalam membangunkan sistem ini Nissan telah mengambil kira beberapa faktor supaya ianya berfungsi di dalam situasi yang realistik.
Sebagai contoh, sistem tidak akan berfungsi ketika pemandu menukar lorong dan lampu isyarat diaktifkan atau semasa kereta mula mendaki dan sedang memecut di laluan curam.
Sistem juga tidak akan berfungsi apabila pedal pendikit dilepaskan dua saat selepas pedal brek ditekan dan kereta berhenti.
Perkakasan ini dijual pada harga 7,400 yen (RM248.24) termasuk pemasangan.
BACA: NISSAN TERRA SPORT THAILAND, 2.3L TURBO – RM201.8 RIBU!
BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!
BACA: PADA 1969 NISSAN SKYLINE 2000GT-R DIPERKENAL, 4 PINTU SEBELUM 2 PINTU