MITSUBISHI EK SPACE 2023 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM51.6 RIBU!
Mitsubishi Motors Corporation memperkenalkan model rupa baru (facelift) Mitsubishi eK Space dan mula dijual di Jepun pada 25 Mei.
eK Space adalah satu daripada siri kei-car (kereta mini) eK Mitsubishi yang menghimpunkan eK Wagon, eK X dan eK X EV. Model ini mempunyai kembar dari Nissan iaitu Roox, Dayz dan Sakura.
eK Space 2023 yang diperkenalkan ini dari generasi kedua dan sudah berada di pasaran Jepun sejak 2020.
Satu yang menarik ialah muka depan eK Space tidak menggunakan format Dynamic Shield sejak dari awal lagi.
Model 2023 didatangkan dengan gril bentuk tiga dimensi dan menggabungkan warna hitam dan krom dan tampil serius. Bampar depan juga ditukar baharu dan secara keseluruhannya nampak lebih premium.
Lampu depan projektor LED dijadikan ciri standard untuk kesemua varian. Turut diubah ialah penutup rim saiz 14 inci dengan corak tiga rongga.
Pada bahagian dalam, Mitsubishi memberikan balutan kerusi dengan corak geometrik dan warna greige iaitu gabungan di antara kelabu (gray) dan beige supaya kotoran tidak mudah kelihatan.
Turut dilengkapi tali pinggang keledar penumpang belakang dengan fungsi pra tegang yang dijadikan ciri standard untuk kesemua varian.
Menggerakkan eK Space ialah enjin BR06 660cc yang menghasilkan 52 ps pada 6,400 rpm dan tork 60Nm pada 3,600 rpm. Enjin itu dipadan motor hibrid SM 21 dengan output 2.7 ps dan tork 40Nm.
Enjin itu juga dipadan bersama transmisi CVT dan pembeli boleh memilih pacuan dua roda atau empat roda.
Ada dua varian utama eK Space 2023 yang ditawarkan iaitu M dan G dan dijual pada harga berikut:
- eK Space M 2WD: 1,547,700 yen (RM51,650)
- eK Space M 4WD: 1,679,700 yen (RM56,055)
- eK Space G 2WD: 1,661,000 yen (RM55,431)
- eK Space G 4WD: 1,793,000 yen (RM59,852)
BACA: MITSUBISHI MAHU PERKENAL 16 MODEL DALAM 5 TAHUN, FOKUS ASEAN DAN OCEANIA
BACA: MITSUBISHI OUTLANDER PASARAN CHINA, ENJIN KECIL 1.5 TURBO MILD HYBRID!
BACA: MITSUBISHI EKSPORT 5 JUTA KENDERAAN DARI THAILAND, PROGRAM BERMULA 1988!