
BEZOS SAMAN NASA ANUGERAH KONTRAK KEPADA SPACEX MILIK MUSK
Syarikat penerokaan angkasa lepas milik manusia terkaya dunia, Jeff Bezos, Blue Origin mengemukakan saman terhadap Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) berikutan penawaran kontrak bernilai AS$2.9 bilion(RM12.3 bilion) kepada firma SpaceX milik bilionair Elon Musk.
Saman berkaitan kontrak pendaratan di Bulan itu diserahkan kepada Mahkamah Tuntutan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan menandakan peningkatan bantahan syarikat Blue Origin terhadap penyerahan kontrak berkenaan.
“Protes ke atas tawaran ini mencabar penilaian cadangan NASA yang tidak sah dan tidak wajar,” kata Blue Origin dalam kenyataannya.
Tuntutan Blue Origin itu telah difailkan dan NASA perlu mengemukakan maklum balas terhadap saman itu pada 12 Oktober ini.
Jurucakap NASA, Monica Witt pula memaklumkan bahawa pegawai terlibat sedang meneliti perincian kes tersebut.
“NASA mempunyai komitmen tinggi terhadap program Artemis (pendaratan manusia di Bulan) selain mempertahankan kepimpinan global Amerika Syarikat dalam sektor penerokaan angkasa lepas.
“Menerusi kerjasama dengan rakan kongsi kami, pengembaraan ke Bulan akan berlaku bagi merealisasikan segala peluang penyelidikan sains, perkembangan teknologi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat persiapan penghantaran angkasawan ke Planet Marikh,” jelas Witt.
Pada April lalu, Blue Origin membuat tawaran untuk menjadi rakan kerjasaman dalam projek terbaharu mereka yang digelar Human Lander System.
NASA menyerahkan kontrak tersebut kepada SpaceX, namun ia dibantah oleh Pejabat Akauntabiliti Kerajaan AS (GAO) yang menganggap pemilihan syarikat Elon Musk itu adalah tidak wajar. – BBC/KOSMO!
- BACA: BEZOS TAWAR DANA RM8 BILION KEPADA NASA. NAK SAILANG ELON MUSK KE?
- BACA: PEMBIDA MISTERI BAYAR RM115 JUTA MENGEMBARA KE ANGKASA BERSAMA JEFF BEZOS
- BACA: JEFF BEZOS RAMPAS SEMULA STATUS SEBAGAI INDIVIDU TERKAYA DUNIA. KEKAYAAN BERSIH BERNILAI RM772 BILION!!!
- BACA: NASA NAK BAYAR SUKARELAWAN TINGGAL DI ‘MARIKH’ SELAMA SETAHUN