HAKIM BELANDA,PEGUAM LAWAT BANGKAI PESAWAT MH17
Panel hakim Belanda dan para peguam melawat bangkai pesawat Malaysia Airlines MH17 untuk kali pertama dalam ‘hari penuh emosi’ untuk perbicaraan empat suspek nahas tersebut.
Cebisan hadapan pesawat itu yang ditembak jatuh di Ukraine pada tahun 2014 dengan mengakibatkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh, dicantumkan di pangkalan udara Gilze-Rijen, Belanda.
Perbicaraan tiga rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine kerana menembak jatuh pesawat jenis Boeing 777 itu bermula pada 2020 tetapi pekembangannya perlahan disebabkan perbalahan undang-undang. Kesemua suspek dibicarakan tanpa kehadiran mereka.
“Kami sedar bahawa lawatan untuk menyaksikan MH17 yang dibina semula ini sebagai sebahagian daripada proses perbicaraan jenayah akan memberikan kesan emosi kepada waris mangsa,” kata seorang hakim berkenaan, Hendrik Steenhuis.
Panel hakim tersebut memeriksa bahagian luaran pesawat yang masih memiliki cat putih, merah dan biru sebelum menaiki tangga untuk melihat kerosakan pada bahagian dalam pesawat.
Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur apabila ia ditembak di rantau timur Ukraine yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.
Siasatan antarabangsa merumuskan bahawa sebuah peluru berpandu BUK berasal daripada Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat Ke-53 yang berpangkalan di bandar Kurks sebagai bertanggungjawab.
Bangkai pesawat itu dicantum semula selepas diangkut dari timur Ukraine menggunakan kereta api dan pesawat ke pangkalan udara di Belanda.
Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa, Arlette Schijns berkata lawatan tersebut dapat membantu ahli keluarga yang masih mencari kebenaran dan keadilan sejak beberapa tahun lalu. – Kosmo/AP/AFP
- BACA: KLUSTER KAYANGAN ANJUR MAJLIS KAHWIN DI DALAM PESAWAT. TIADA PENJARAKAN FIZIKAL, PELITUP MUKA
- BACA: PESAWAT BATIK AIR BERGERAK SENDIRI, LANGGAR JET BRIDGE DI BALI
- BACA: PESAWAT AIR FRANCE GUNA MINYAK MASAK TERPAKAI TERBANG KE KANADA
- BACA: MALAYSIA AIRLINES SAH BAKAL HENTIKAN OPERASI PESAWAT AIRBUS A380