Artikel PilihanBuletin

INI SEJARAH NISSAN Z EDISI TERHAD, DARI 1950 – 2010

Sejarah dunia automotif sentiasa berulang. Bermula daripada negara barat dan kemudian disambut oleh pengeluar Jepun yang merevolusikan pakej sebuah kereta dengan penjimatan minyak dan harga mampu milik.

Templat sama kemudian diguna pakai oleh pengeluar Korea Selatan dengan harga rendah untuk spesifikasi tinggi.

Kini adalah permulaan ledakan pengeluar atau pasaran negara China. Kereta yang menarik, serba canggih pada harga rendah.

Dalam episod dunia automotif, pengeluar Jepun bukan sahaja membina semula format kereta penumpang tetapi juga kereta berprestasi.

Datsun Z misalnya yang dikeluarkan pada tahun 1969 berjaya membuka mata ramai.

Model ini dikeluarkan sebagai sebuah kereta sport mampu milik, boleh dipercayai dengan gaya dan keselesaan untuk pemanduan harian, suatu karakter yang jarang didapati untuk segmennya pada masa itu.

Model Z pertama atau dikenali sebagai Datsun 240Z diperkenalkan di Amerika Syarikat pada harga AS 3,626 yang merupakan satu angka mampu milik untuk segmennya.

Dalam masa yang singkat Datsun Z mencapai kejayaan dengan jualan global lebih daripada 40,000 unit pada tahun 1970.

Model Z tidak hanya berjaya semusim dan ia terus dikeluarkan sehingga kini. Dalam tempoh lima dekad, Nissan mengeluarkan pelbagai siri istimewa bagi meraikan momen penting seperti berikut:

1.Datsun 280ZX 10th Anniversary Edition 1980

Untuk meraikan ulang tahun kesepuluh Z pertama, Nissan mengeluarkan model 280ZX edisi khas dengan jumlah pengeluaran terhad.

Kejayaan model Z terdahulu memberi peluang kepada Nissan untuk melengkapi model 280ZX dengan bahan mewah seperti kerusi kulit dan stereo hi-fi.

Ini sebenarnya peningkatan berbanding konsep asal 240Z iaitu sporti dan ekonomikal.

Dengan hanya 3,000 dikeluarkan, Edisi Ulang Tahun Kesepuluh 280ZX pada hari ini adalah model simpanan eksklusif.

Versi paling popular menggunakan skema warna hitam dan emas yang dikeluarkan sebanyak 2,500 unit.

Baki lagi 500 unit menggunakna skema cat merah dan hitam. Setiap unit Ulang Tahun Kesepuluh 280ZX mempunyai plak dengan nombor edisi.

Model Kanada pula didatangkan dengan logo daun maple.

Datsun 280ZX 1980 dikuasakan oleh enjin 2.8-liter enam sebaris ​​yang menghasilkan 132 hp.

Kuasa dipindahkan ke roda belakang melalui transmisi manual lima kelajuan.

2. Nissan 300ZX Turbo 50th Anniversary Edition 1984

Edisi Ulang Tahun Ke-50 Nissan 300ZX Turbo 1984 adalah sempena menyambut ulang tahun lima dekad penubuhan Nissan pada bulan Disember 1933.

Hanya 5,148 daripada model ini dikeluarkan untuk pasaran AS dengan tambahan 300 unit untuk pasaran Kanada.

300ZX Turbo 1984 dilengkapi dengan enjin 3.0 liter V6 berkuasa 200 hp. Enjin ini dipadankan bersama transmisi manual lima kelajuan atau automatik 4 kelajuan.

Model ini dilengkapi teknologi 80-an yang dianggap maju pada masa itu seperti kawalan audio pada stereng, bacaan digital dan suspensi yang dikawal secara elektronik.

Tahun 1984 bukan sahaja ulang tahun ke-50 buat Nissan tetapi juga tempoh di mana model Z adalah kereta sport paling laris di Amerika.

3. Nissan 350Z 35th Anniversary Edition 2005

Selepas meninggalkan pasaran domestik Jepun pada tahun 2000 (1997 di Amerika Utara), Z generasi baru tampil dengan sesuatu yang segar pada tahun 2003.

Z baharu dibina di atas platform inovatif FM (Front Midship) dan dikuasakan oleh enjin 3.5 liter V6. Enjin dikenali sebagai VQ (singkatan untuk VQ35ED) menghasilkan kuasa 287 hp.

Pada tahun 2005, Nissan mengeluarkan versi khas bagi meraikan ulang tahun ke-35 Z.

Edisi ini ditawarkan dalam warna Ultra Kuning, Silverstone atau Super Black dan dilengkapi dengan penalaan baharu dan peningkatan prestasi.

Jurutera Nissan menala semula enjin untuk tambahan 13 hp kepada 300 hp. Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan manual.

Kelengkapan khusus lain ialah roda aloi 18n ci eksklusif, spoiler hadapan kecil, brek Brembo®, logo khas dan sistem bunyi premium enam-speaker Bose®.

4. Nissan 370Z 40th Anniversary Edition 2010

Pada tahun 2009, enjin VQ 350Z menerima anjakan sesaran kepada 3.7 liter dan menyebabkan perubahan nama menjadi 370Z.

Setahun kemudian, Nissan memperkenalkan Edisi Ulang Tahun ke-40 370Z terhad kepada hanya 1,000 unit.

Model edisi khas diasaskan daripada varian Touring yang dilengkapi transmisi manual dan Pakej Sport seperti spoiler depan dan belakang, Brek Sport Nissan dan roda RAYS 19-inci forged daripada jenis aluminium-aloi.

Model ini turut dilengkapi LSD dan teknologi transmisi SynchroRev Match® Nissan.

Warna khusus untuk model ini ialah “40th Graphite,” dengan angkup brek mewah dan logo ulang tahun ke-40.

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button