
INI KOS SERVIS NISSAN ALMERA BARU. OK KE TAK OK?
Nissan Almera N18 merupakan pengganti kepada Nissan Almera N17 yang lama dan lebih baik dari segala segi prestasi, keselamatan serta rekabentuk yang lebuh segar. Dengan pengenalan enjin 1000cc turbo dengan transmisi CVT, Almera dengan pantas menjadi pilihan sedan segmen B untuk rakyat.
Jadi hari ini kita akan menilai berapa kos untuk membela sebuah Nissan Almera. Bukan apa, ramai ukur kemampuan membeli kereta dengan hanya melihat kos bayaran bulanan, kos servis dia tolak tepi dulu. Bila kena masuk servis, 2 kali je hantar ke SC. Alasannya mahal. Bila ada masalah, dia bising di Facebook.
1. Minyak pelincir- atau dikenali juga dengan nama minyak hitam perlu ditukar setiap 7000km. Untuk 1000km pertama, anda tidak perlu menukar minyak enjin dan pemeriksaan hanya dilakukan untuk memastikan tiada kebocoran yang terjadi pada enjin

Kenapa 7000km? Kenapa tak 10,000km? Ok Almera generasi baru menggunakan enjin 1000cc 3 silinder dengan turbo. Ia menghasilkan 152Nm tork dari 2400-4000 RPM tapi hanya sekitar 99 kuasa kuda sahaja. Unit turbo memerlukan minyak enjin untuk beroperasi dengan melincirkan bearing turbo
Jadi secara konservatifnya, adalah lebih selamat untuk menukar minyak enjin lebih awal kerana operasi turbo mendedahkan minyak enjin pada suhu yang tinggi. Semakin tinggi suhu semakin mudah minyak enjin untuk rosak. Almera memerlukan 3.6 liter minyak sintetik penuh 0W-20 dengan kos RM 164
2. Penapis minyak enjin – sama seperti minyak enjin, perlu ditukar pada setiap 7000km dengan kos RM 36 sahaja. Setiap kali penukaran minyak enjin dilakukan, Oil Pan Washer juga perlu diganti dengan kos RM 2.50. Jadi kos keseluruhan servis minor ialah RM 254.30 termasuk kos upah dan pencuci cermin depan (RM 2.80)

3. Cecair CVT – perlu ditukar pada setiap 84,000km atau dalam 72 bulan. Sebanyak 7 liter cecair Nissan NS-3 Fluid perlu ditukar dengan kos RM 411.45. Drain plug washer juga perlu ditukar dengan kos RM 2.50.
4. Air Filter – atau penapis udara untuk enjin perlu diganti pada setiap 28,000km dengan harga RM 84.00. Anda perlu menukar air filter ini pada 56,000km dan 84,000km
5. Cecair penyejuk – yang digunakan dalam radiator akan ditukar pada 98,000km sekali atau pada bulan ke 84. Lama dah tue, sebab kalau cecair ini tidak ditukar kandungan bahan anti karat dalam cecair ini akan berkurang. Radiator mungkin akan berkarat dan menyumbat laluan cecair penyejuk dalam enjin

Enjin mungkin akan mengalami overheat dan kos penggantian kepala silinder bukanlah murah. Kos penukaran cecair penyejuk ini hanyalah RM 122.50 sahaja.
6. Palam pencucuh – 3 unit palam pencucuh dari jenis platinum perlu ditukar setiap 98,000km dengan kos RM 120. Jika anda perasan, palam pencucuh dan cecair penyejuk perlu ditukar ketika cecair penyejuk ditukar. Palam pencucuh platinum juga lebih tahan lama dari tembaga, jadi harganya akan lebih mahal
7. Penapis udara kabin – atau air cond filter akan ditukar ketika perbatuan Almera mencapai perbatuan setiap 21,000km. Harga bagi setiap unit ialah RM 83.60

8. Minyak brek – atau cecair brek DOT3 perlu disalin pada setiap 28,000km dengan kos RM 18.00 sahaja.
Ok yang kami paparkan di atas ini ialah kos servis yang dicadangkan oleh Nissan (preventive maintenance). Kalau kita tengok, servis minor ialah RM 254.30 sahaja manakala servis major pula mencecah sehingga RM 1004.99 pada perbatuan 84,000km
Ketika ini anda perlu menukar cecair CVT, penapis udara, minyak brek dan juga penapis penyaman udara serta membayar kos upah RM 189.00. Tapi ada juga kos lain yang perlu diambil perhatian seperti kos penggantian komponen yang sudah haus (wear and tear)
9. Drive belt – tali sawat atau serpentine belt yang menyambungkan alternator, pemampat penyaman udara dengan enjin perlu ditukar pada setiap 28,000km. Tapi kalau OK tak perlu tukar lagi dan hanya perlu ditukar kalau ada bunyi. Biasa kalau bawa tak lenjan, belt ini tahan lama

Belt ini berharga RM 137.00 setiap set dan kos penukaran hanyalah RM 14.00 sahaja.
10. Pad brek – ada depan dan juga belakang. Tapi biasanya depan cepat habis sebab beban brek tayar depan jauh lebih tinggi disebabkan wieght transfer berlaku ketika brek. Pad brek depan berharga RM 345.00 per set dengan upah penukaran ialah RM 42.00
Pad brek belakang mungkin perlu ditukar setiap 100,000km sekali (bergantung pada cara pemanduan) dengan kos RM 349 dan kos upah ialah RM 63.00 sahaja. Tak nak bayar kos upah, boleh belajar buat sendiri di Youtube dan beli Special Service Tool sendiri.

11. Tayar – Almera ada 2 saiz yang disediakan samaada 205/55 R16 bagi varian VLP dan VLT atau 195/65 R15 bagi varian VL. Seperti biasa harga tayar bergantung pada saiz tayar. Rim 16 biasa akan lebih mahal dengan harga pasaran sekitar RM 200 bagi jenama biasa dan RM 300 bagi jenama premium
Tayar bersaiz 15 biasa akan lebih murah dengan harga permulaan antara RM 160 bagi jenama biasa dan sehingga RM 250 bagi jenama premium.