
OMOLOGATA MODEL ONE-OFF KE-10 FERRARI. BERDASARKAN 812 SUPERFAST
Ferrari melancarkan model one-off ke-10 yang menggunakan platform enjin V12 di bahagian hadapan sejak pengenalan P540 Superfast Aperta 2009.
Model dikenali sebagai Omologata ini dibangunkan berdasarkan 812 Superfast. Begitupun,hanya cermin dan lampu hadapan yang tidak diubah daripada model berkenaan.
Ferrari Omologata menampilkan rekaan kustom sporty mendapat sentuhan body kit baharu.

Selain itu, jentera terbaharu ini hadir dengan gril hadapan rekaan baharu, arca roda lebih menarik, tiga sirip melintang menggantikan cermin belakang, set lampu tunggal di bahagian belakang, spoiler belakang dan diffuser lebih besar.
Di bahagian kabin pula, ia masih mengekalkan perincian unik jenama Ferrari yang cukup sinonim dengan perlumbaan.
Ia dilengkapi tempat duduk dengan warna biru elektrik, gabungan fabrik kain dan kulit Jeans Aunde, racing harnesses empat poin dan kemasan berwarna hitam.

Ferrari Omologata menawarkan layangan efek cat crackled yang dikaitkan dengan pelumba GT era 1950-an dan 1960-an, serta efek cat hammered pada pemegang pintu dan ‘jambatan’ Ferrari F1 yang mengembalikan nostalgia 250 LM dan 250 GTO.
Jentera terbaharu ini ditempah pelanggan dari Eropah yang tidak disebutkan namanya malah dibangunkan untuk kegunaan jalan biasa dan litar perlumbaan.
Ferrari mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan jentera menggunakan tiga lapis warna Rosso Magma dilengkapi gentian karbon gelap ini.

Dalam pada itu, tidak dimaklumkan jika terdapat perubahan pada enjin digunakan Omologata tetapi 812 Superfast mendapat khidmat enjin V12 6.5 liter aspirasi natural yang mampu menjana 800 PS dan tork 718 Nm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi klac berkembar automatik tujuh kelajuan, membenarkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat dan kelajuan maksimum 340 km/j. – carscoops