
FERRARI MONDIAL DICURI 26 TAHUN LALU. MUNCUL SEMULA DI DASAR SUNGAI
Kisah sebuah jentera Ferrari Mondial yang dicuri 26 tahun lalu dan dibuang ke dasar sungai di Belanda ditemui secara tidak sengaja.
Menurut NL Times, Ferrari model tahun 1987 itu dilaporkan hilang pada awal tahun 1990.
Begitupun, pihak polis Belanda telah menghentikan pencarian kereta berkenaan kira-kira pada tahun 1994 selepas mencapai kata sepakat dengan pemilik.
Pihak insurans juga telah membuat pembayaran ganti rugi kepada pemilik kenderaan dan perkara tersebut dianggap selesai atau semua orang beranggapan demikian.

Pada bulan Jun lalu, pasukan bomba Belanda sedang melakukan latitan selaman di perairan Sungai IJ dan menemui objek badan berbentuk segi empat yang kelihatan seperti sebuah kereta di dasar sungai.
Pihak polis telah dipanggil ke lokasi tersebut dan melakukan operasi menyelam tetapi gagal menemui kenderaan itu.
Bagaimanapun, seminggu kemudian, jentera yang tenggelam itu dapat dibawa ke permukaan selepas operasi melibatkan para penyelam Jabatan Bomba dan Kementerian Pertahanan.

Setelah dua hari, bahagian-bahagian yang tertanggal diikat semula dan pihak polis menemui objek Mondial dilaporkan hilang sejak beberapa dekad lalu.
Siasatan forensik mendapati tiada unsur jenayah dilakukan terhadap kenderaan tersebut selain kes kecurian. Justeru, ia telah diserahkan kepada pemilik sah.
Bagi kes ini, kereta tersebut merupakan hak milik syarikat insurans yang telah membayar ganti rugi kepada pemilik asal kenderaan.

Memandangkan Mondial tersebut berada sekurang-kurangnya 26 tahun di dasar sungai, syarikat insurans mengisytiharkan penghapusan dan menghantar Ferrari ke pusat pelupusan sampah Autodemontage De Ooyevaar.
Kisah Ferrari tersebut menjadi viral dan pemilik syarikat pelupusan sampah membuat keputusan tidak melupuskan jentera itu.
Bahkan, dia memberitahu Top Gear Belanda, Ferrari berkenaan menjadi ‘bintang’ pameran sendiri dengan meletakkan ia di ruang luar pejabat.
Dia bercadang meletakkan kereta tersebut di muzium. Dalam masa sama turut berbincang dengan Ferrari dan pengumpul kereta klasik apabila mula meminati serta menghargai Mondial itu.
Secara keseluruhan, Ferrari hanya mengeluarkan kurang 1,000 unit model Mondial. -autoevolution