Artikel Pilihan

FERRARI PERNAH HASILKAN ENJIN 3 SILINDER SUPERCAJ

Bila sebut sahaja Ferrari orang akan bayangkan enjin yang digunakan oleh jenama kuda meloncat ini pasti akan menggunakan enjin paling canggih dengan konfigurasi 12 silinder, 10 silinder dan paling koman pun 8 silinder susunan V. Bagi memenuhi standard pencemaran asap serta menghasilkan kuasa yang diperlukan, Ferrari mula menghasilkan enjin dengan bantuan kuasa turbo serta teknologi hibrid.

Perintis teknologi enjin Ferrari hari ini adalah sebuah enjin 1500cc V12 (ya sama saiz dengan enjin Myvi) yang dipasang pada model 125S yang menggunakan semua teknologi pada tahun 1947. Dengan sumber yang terhad selepas perang dunia kedua enjin ini berupaya menghasilkan 118 kuasa kuda dengan teknologi SOHC dan juga 3 unit karburetor Webber. Enjin ini berjaya memberikan 12 daripada 13 kemenangan yang disertai oleh Ferrari

Namun selain daripada enjin 125S ini, Ferrari juga turut bereksperimen dengan enjin 3 silinder namun menggunakan 2 lejang. Enjin yang diberi nama Tipo F134 2T ini memiliki sesaran 1346 cc serta dibantu dengan teknologi supercaj. Ia berupya menghasilkan 130 kuasa kuda pada 5000 RPM. Antara khabar angin yang diperkatakan ialah enjin ini sebenarnya direka bagi menguji idea enjin 2 lejang bagi konfigurasi V6 pada tahun 1994

Sekiranya konsep ini berjaya, Ferrari akan menggabungkan 2 enjin 3 silinder 2 lejang ini di atas satu aci engkol bagi menghasilkan enjin V6 dengan 260 kuasa kuda dengan sesaran sekitar 2692 cc. Antara perkara yang menarik perhatian jurutera Ferrari ialah enjin 2 lejang sebenarnya lebih ringkas dalam proses menghasilkan kuasa berbanding dengan enjin 4 lejang.

Satu putaran lengkap enjin 4 lejang memerlukan putaran 720 darjah bagi melakukan proses ambilan udara, mampatan, pembakaran dan ekzos dalam satu kitaran lengkap. Bagi enjin 2 lejang, proses ini boleh dilakukan dalam masa 360 darjah sahaja. Proses ambilan udara/pengeluaran asap ekzos serta proses pembakaran/mampatan boleh dilakukan secara serentak bagi enjin 2 lejang.

Proses yang dipermudahkan ini ditambah lagi dengan faktor rekaan kepala silinder yang boleh dibuat secara ringkas menjadikan enjin 2 lejang ada kelebihan yang sendiri berbanding dengan enjin 4 lejang. Proses ambilan udara dan pengeluaran asap ekzos boleh dilakukan menerusi inlet port dan exhaus port yang bukaannya diselia oleh piston.

Bagi enjin 4 silinder ia memerlukan injap bagi mengawal aliran udara masuk dan ekzos keluar serta mekanisma aco sesondol bagi mengawal injap. Namun sebelum geng Yamaha 125Z bertepuk tangan, operasi enjin 2 lejang memiliki beberapa kekurangan seperti tork yang dihasilkan adalah rendah, tork yang dihasilkan hanya pada RPM tertentu sahaja (narrow power band) serta enjin ini beroperasi pada suhu yang tinggi menghasilkan asap jelaga.

Namun Ferrari telah menambahbaik enjin 2 lejang ini dengan beberapa pembaharuan seperti:

1. Injap ekzos – ya walaupun rekaan asal enjin 2 lejang tiada injap, Ferrari memutuskan untuk memasang injap ekzos bagi kualiti kawalan enjin yang lebih cekap. Proses pembukaan dan penutupan injap dikawal oleh aci sesondol

2. Sistem suntikan bahan api – setiap silinder dilengkapkan 2 penyuntik bahan api bagi menggantikan sistem karburetor untuk kawalan pemasaan pembakaran yang lebih sempurna

3. Sistem Supercaj – selain bertindak memnaikkan kecekapan mekanikal enjin, sistem supercaj membekalkan udara pada tekanan yang lebih tinggi bagi membolehkan proses scavenging dalam enjin 2 lejang berlaku dengan lebih baik

4. Sistem pelinciran – kebanyakan enjin 2 lejang dibekalkan dengan bahan pelincir melalui petrol, namun pada masa yang sama proses ini akan membakar minyak pelincir dan menghasilkan jelaga. Ferrari telah mengubahsuai enjin ini agar ia membekalkan minyak pelincir sama seperti enjin 4 lejang.

Walaupun jurutera mendapati enjin ini cukup ringan untuk dipakejkan dengan kuasa yang tinggi (power to weight ratio) serta suhu yang tinggi meningkatkan kecekapan haba enjin, namun pada masa yang sama mereka mendapati enjin ini gagal melepasi piawaian asap Euro. Malah 130 kuasa kuda dari 1346 cc ini tidak cukup kuat bagi Ferrari menyebabkan idea dan konsep enjin ini akhirnya terkubur.

Google ads
Back to top button