Buletin

SUPERCAR HIBRID FERRARI SF90 STRADALE MASUK MALAYSIA. HARGA BERMULA RM1.9 JUTA

Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari untuk Malaysia memperkenalkan supercar hibrid, SF90 Stradale.

Jentera SF90 Stradale yang didatangkan dengan dua pintu merupakan siri pertama produksi Plug-in Hybrid Electric Vehichle (PHEV) sekali gus melakar sejarah baharu bagi jenama ini.

Nama SF90 diambil sempena sambutan ulangtahun pasukan lumba Scuderia Ferrari yang ke-90 manakala Stradale pula membawa maksud khusus untuk jalan raya.

Ia bagi membezakan kereta ini dari jentera lumba Formula 1 yang turut dinamakan SF90.

SF90 Stradale merupakan jentera paling maju dari segi prestasi dan teknologi.

Justeru, tidak hairanlah rekaan model terbaharu ini makin mantap dan padu.

Jentera terbaharu SF90 Stradale masih mengekalkan prinsip rekaan pengeluar Itali ini tetapi dengan evolusi radikal.

Sentuhan moden dan radikal dapat diperlihatkan pada bahagian badan jentera ini. Ia hadir dengan lampu tirus LED Matrix, tip ekzos berkembar dan lampu belakang moden.

SF90 Stradale dilengkapi rim 20-inci didatangkan bersama tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang menyerlahkan lagi sisi sporty jentera hibrid ini.

Bahagian dalaman pula, ia mendapat sentuhan futuristik yang diilhamkan daripada kokpit aeronautikal.

Selain itu, jentera ini hadir dengan HMI (human-machine interface) bagi kluster instrumen digital definisi tinggi 16 inci baharu.

Rekaan ini bagi memastikan pemandu merasai pengalaman bagaikan seorang pemandu F1.

Kawalan tradisional yang masih dikekalkan dalam kabin ini termasuk roda stereng, kawalan lampu, wiper, indikator dan Manettino bagi mod pemanduan.

Model SF90 Stradale mendapat khidmat enjin V8 turbo dengan kemampuan 780 PS.

Sebagai jentera hibrid, ia dilengkapi tiga motor elektrik Motor Generator Unit Kinetic (MGUK) yang menggunakan teknologi Formula 1.

Dua motor elektrik berkenaan berada di bahagian hadapan manakala satu lagi di belakang yang mampu menghasilkan 220 PS.

Gandingan teknologi terkini itu memastikan jentera terbaharu ini mampu menjana kuasa maksimum mencecah sehingga 1,000 PS dan tork 800 Nm dengan transmisi 8 kelajuan dual clutch automatik.

Ia hadir dengan bateri lithium ion bersaiz 7.9 kWh, hanya cukup untuk jarak sejauh 26 km jika mahu menggunakan elektrik sepenuhnya.

Model terbaharu ini merupakan jentera sport Ferrari pertama dilengkapi pacuan 4WD yang mampu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat dan 0-200 km/j pula hanya 6.7 saat.

Selain itu, ia didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu eDrive Hybrid, Performance  dan Qualify.

Bagi memastikan kesinambungan prestasi dinamik dan cengkaman lebih baik, ia dilengkapi sistem Electronic Side Slip Control (eSSC), torque vectoring, Electric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e).

SF90 Stradale ditawarkan pada harga bermula RM1,908,000.00. Ia turut didatangkan bersama program penyelenggaraan selama tujuh tahun dengan servis berjadual.

Google ads
Back to top button