Buletin

TAHUKAH ANDA JERMAN PASARAN TERBESAR MAZDA DI EROPAH? 17K UNIT JUALAN DALAM 3 BULAN

Sekarang ini Mazda sudah berjaya membuktikan bahawa model mereka adalah sesuatu. Bukan senang untuk sebuah syarikat kecil seperti Mazda bersaing di dalam liga yang dipenuhi dengan syarikat gergasi dengan keupayaan besar pada segenap segi.

Bukan sahaja besar, syarikat ternama ini menjalin pula usahasama dengan syarikat-syarikat lain dalam berkongsi model dan teknologi.

Apakah langkah seterusnya untuk Mazda? Ini lah masa untuk Mazda membuktikan mereka juga pandai berniaga dan menjual.

Satu indikator pandai berniaga ialah angka jualan yang boleh membawa untung. Lebih banyak jualan lebih bagus terutama sekali apabila segala kos penyelidikan dan pembangunan teknologi SkyActiv menelan belanja besar dan ianya perlu diraih semula.

Bercakap tentang jualan, Mazda baru sahaja mengumumkan prestasi kewangan dan jualan suku pertama dari 1 April hingga 30 Jun 2019. 

Di dalam tempoh tersebut, jualan global ialah sebanyak 353,000 unit, satu angka bagus untuk pengeluar kecil seperti Mazda. Jualan di rantau Eropah (tidak termasuk Rusia) dalam tempoh tiga bulan ialah sebanyak 60,000 unit, meningkat dua peratus.  

Pasaran terbesar Mazda di Eropah ialah Jerman dengan sumbangan sebanyak 17,000 unit, meningkat enam peratus manakala jualan di United Kingdom pula meningkat lapan peratus kepada 8,000 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Di tanah kelahiran sendiri iaitu Jepun, jualan dalam tempoh tiga bulan tersebut ialah sebanyak 39,000 unit. Jualan di negara-negara Amerika utara pula begitu signifikan iaitu sebanyak 100,000 unit.

Di China, jualan Mazda adalah sebanyak 54,000 unit manakala rantau ASEAN mencatat jualan sebanyak 29,000 unit.

Dari segi pendapatan, Mazda memperolehi ¥848.9 bilion (RM32,500,560,950) dengan keuntungan operasi sebanyak ¥7 bilion (RM267,942,500) dan pendapatan bersih ¥5.2 bilion (RM199,043,000).

Untuk tahun fiskal penuh berakhir 31 Mac 2020, jangkaan prestasi kewangan Mazda kekal dengan jualan sebanyak 1,618,000 unit, keuntungan operasi ¥110 bilion (RM4,210,236,976) dan pendapatan bersih ¥80 bilion (RM3,061,080,000).

Seperti yang dikatakan di awal artikel tadi, Mazda sudah berjaya mengeluarkan model-model yang bagus dan menawan. Di sebalik kejayaan tersebut harus diakui harga Mazda lebih premium berbanding jenama Jepun. Perhatikan harga Mazda CX3 dan Mazda3 terbaru.

Walaupun dengan harga premium, Mazda tetap mempunyai pembeli tersendiri. Tinggal lagi, Mazda harus memikirkan strategi supaya harga premium tersebut dapat disetarakan dengan pengeluar lain supaya lebih banyak untung dihasilkan dan lebih banyak teknologi luar kotak dapat ditawarkan kepada pengguna.

Apa pun, Mazda tetap Mazda dan kita tidak boleh menjangkakan ia seperti jenama lain.

Google ads
Back to top button