Buletin

VELOCITY ESPORT TOYOTA GAZOO RACING 2019 – SHAHRIL MENANG RM20K!

Acara kemuncak Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing  (GR) yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur (Centre Court) semalam (22 September 2019) menyaksikan Mohd Shahril Nindar dinobat sebagai juara.

Membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 Shahril berjaya mengenepikan 9 peserta lain dalam pusingan akhir yang cukup sengit.

“Kejohanan Toyota GR Velocity merupakan satu acara yang sangat hebat dan saya gembira menjadi sebahagian daripadanya. Bukan mudah untuk bersaing dengan 10 pelumba terbaik di Malaysia.

“Saya bersyukur kerana dapat menjadi juara, walaupun berdepan masalah teknikal semasa perlumbaan. Saya menang kerana berjaya mengumpul mata paling tinggi,” kata Shahril.

Tempat kedua disandang oleh Muhammad Uzair Abdul Nasir yang menerima hadiah wang tunai RM10,000. Manakala Mohammad Afif Suhaimi yang berada di tempat ketiga menerima RM5,000.

UMW Toyota Motor menjadi syarikat automotif pertama yang menyokong perkembangan pesat aktiviti sukan elektronik di Malaysia sejak tahun lalu.

Memandangkan maklum balas dan sambutan yang diterima begitu menggalakkan daripada peminat-peminat ESport, UMWT sekali lagi menganjurkannya bagi edisi tahun ini.

Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019 menyaksikan seramai 700 peserta bersaing sesama sendiri dalam pusingan kelayakan yang diadakan dalam masa sebenar bertempat di Cove ESport Hub, Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor pada 31 Ogos, 1,14 dan 15 September lalu.

Tahun ini, semua pemenang berpeluang berkongsi tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM70,000. Cabutan bertuah yang menawarkan hadiah produk permainan video elektronik bernilai RM11,000 turut disediakan.

Kejuaraan Velocity ESport Toyota Gazoo Racing (GR) menjadi pelengkap kepada aktiviti-aktiviti sebenar dan berprestasi anjuran Toyota.

Antaranya termasuklah perlumbaan litar jalanan Toyota Gazoo Racing Festival yang berlangsung empat kali setahun di beberapa lokasi seluruh negara.

“Dalam era digital kini, tidak hairan sukan elektronik atau ESport menjadi satu industri yang pesat berkembang, tidak hanya di Malaysia malah di peringkat global.

“Justeru, penglibatan Toyota dalam ESport melalui Gazoo Racing dilihat sebagai satu cara yang ideal untuk menyerlahkan sisi sporty dan dinamik jenama Toyota,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Semua peserta menggunakan jentera Toyota GR Supra 2019, kereta flagship terbaru keluaran Toyota yang ada disenaraikan dalam pertandingan Gran Turismo ESport.

Tahun ini, peserta berlumba di Fuji Speedway, Jepun, sebuah litar terkenal dengan laluan sepanjang 1.475 km yang mempunyai satu laluan lurus yang terpanjang di dunia.

10 peserta akhir berentap dalam perlumbaan 10 pusingan di tiga litar terbaik iaitu Kyoto Driving Park, Suzuka Circuit dan Fuji Speedway.

Thrustmaster® menjadi pembekal simulator perlumbaan T-GT terbaik untuk Gran Turismo Sport bagi Kejuaraan Velocity Esport Toyota Gazoo Racing (GR) 2019 dan  permainan maya Gran Turismo akan datang.

GALERI

Google ads
Back to top button