Buletin

PADA 2006 MAZDA CX-7 DIPERKENAL, SUV ERA ZOOM-ZOOM

Mazda baru sahaja melancarkan SUV CX-8 di pasaran tempatan dengan pakej menarik dan diposisikan di antara CX-5 dan CX-9. Apabila diperhati, Mazda mempunyai sejumlah SUV dengan perbezaan yang hampir sama di antara satu sama lain.

Siri SUV Mazda bermula dengan CX-3, CX-5 dan CX-9 dan di celah-celah model tersebut ada CX-4, CX-30 dan CX-8. Enam buah SUV untuk pengeluar kecil seperti Mazda adalah suatu yang menggagumkan.

Perjalanan Mazda di dalam segmen SUV sebenarnya telah bermula lama dan pengguna di negara kita ditawarkan dengan model Tribute berbelas tahun dahulu.

Sebelum itu dari tahun 1991 hingga 1994 Mazda mempunyai SUV besar Navajo dengan pasaran utama di Amerika Syarikat.

Pada era Zoom-Zoom pula, Mazda memperkenalkan dua model iaitu CX-7 dan CX-9 yang kedua-duanya turut boleh dimiliki di pasaran tempatan.

Jika CX-9 mempunyai gantian sehingga kini dan dijual di pasaran tempatan secara rasmi, CX-7 pula sudah tidak dikeluarkan lagi. CX-7 membawa sesuatu yang segar di dalam industri iaitu SUV dalam bentuk sporti.

Mazda CX-7 pertama kali dipertontonkan di acara Greater Los Angeles Auto Show pada 4 Januari 2006.

Satu keistimewaan CX-7 ianya merupakan salah satu dari tiga model penting Mazda yang direka dan kerja-kerja kejuruteraan di buat khusus untuk pasaran Amerika Utara.

Model ini mewakili apa yang dibawa Mazda iaitu berkuasa, reka bentuk menawan dengan hasil kerja terperinci dan seronok untuk dipandu.

CX-7 hadir dengan reka bentuk yang lari daripada SUV tradisional, ia dibangunkan dengan identiti Mazda iaitu Soul of a Sportscar dan DNA popular Zoom-Zoom.

Ketua Pereka model ini ialah Iwao Koizumi yang sebelum itu terlibat dalam model Mazda6 dan kereta konsep sporti RX-01.

Iwao Koizumi memaklumkan bahawa idea beliau untuk reka bentuk CX-7 ialah dengan menggabungkan pergerakan dinamik, bentuk bergerak laju dan tampak berani.

Satu keunikan CX-7 ialah cermin depan dengan ukuran 66 darjah dan lebih sleek berbanding kebanyakan kereta sport pada masa itu apatah lagi untuk sebuah SUV.

Mazda turut membuat kajian mengenai barangan yang selalu dibawa oleh pasangan muda dalam reka bentuk dalaman.

Dari itu terhasil rekaan praktikal seperti laci papan pemuka berkunci yang boleh memuatkan komputer riba kompak dan juga ruang syiling dan cermin mata hitam.

Tempat letak air di konsol tengah tidak menggangu operasi gear manakala poket pintu depan boleh diletakkan botol minuman manakala poket belakang kerusi depan boleh diisi peta atau risalah.

Selain reka bentuk sporti, enjin CX-7 juga menarik perhatian. Ia dibekalkan enjin sama seperti MAZDASPEED6 iaitu MZR 2.3 DISI (Direct Injection Spark Ignition) turbo.

Enjin CX-7 menggunakan turbo baharu yang mempunyai respon lebih baik pada rpm rendah dan menghapuskan lengahan turbo.

Sebelum era SkyActiv lagi Mazda sebenarnya telah menggunakan mampatan tinggi 9.5:1 seperti pada enjin ini.

Kuasa enjin MZR 2.3 DISI turbo ialah 244hp pada 5,000 rpm dengan daya kilas 350Nm daripada 2,000 rpm hingga 5,000 rpm.

Enjin ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan EAT automatik dengan pilihan pacuan roda depan atau kesemua roda Active Torque-Split.

Membantu cengkaman CX-7 ialah Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) yang berfungsi untuk mengoptimumkan pembahagian tujahan enjin.

Kelengkapan standard lain CX-7 pasaran AS ialah enam beg udara, Sistem Brek Anti Kekunci (ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Mazda CX-7 berada dipasaran dari tahun 2006 hingga 2012 dengan model facelift diperkenalkan pada tahun 2009.

Sepanjang tempoh itu CX-7 dipasarkan di beberapa lagi lokasi utama seperti Jepun, United Kingdom dan Australia.

Seperti yang dikatakan awal tadi, CX-7 tidak mempunyai pengganti sehingga sekarang dan Mazda sebenarnya menghadiahkan CX-5 kepada pasaran.

Tidak menghairankan apabila CX-5 mempunyai pakej yang bagus dan DNA sporti kerana jalannya terlebih dahului diterokai oleh CX-7. Inilah Mazda Zoom-Zoom!

BACA: PADA 2005, MAZDASPEED ATENZA DIPERKENAL, ENJIN 2.3L TURBO PACUAN AWD

BACA: MAZDA3 TCR, 2.0L TURBO 350 BHP!

BACA: PERANG SEGMEN C: CIVIC VS ALTIS VS MAZDA 3

Google ads
Back to top button