Artikel Pilihan

PASANGAN BAYAR USD100 UNTUK LOTUS ESPRIT JAMES BOND SEBELUM DIJUAL KEPADA ELON MUSK DENGAN HARGA USD997,000

Pada tahun 2013, Elon Musk mengejutkan dunia bila beliau mendedahkan yang beliau telah membeli Lotus Esprit versi kapal selam yang digunakan sebagai props filem James Bond ‘The Spy Who Loved Me’ yang ditayangkan pada tahun 1977.

Terbaru pula Musk mendedahkan yang trak terbaru beliau yang dinamakan Cybertruck turut mendapat inspirasi dari Lotus Esprit James Bond tersebut. Jadi sebaik mendengar tentang info tersebut, pihak CNBC membuat sedikit penyelidikan dan mendapat satu info yang menarik tentang kereta tersebut dan di mana ia berada sebelum jatuh ke tangan Musk.

Kita flashback ke tahun 1989 di mana sepasang suami isteri dari Long Island, New York telah menghadiri satu sesi bidaan barang-barang terbiar dalam lot simpanan barangan dengan harga sekitar USD100. Apa yang mereka dan pelelong tidak tahu ialah di dalam lot simpanan tersebut tersimpan sebuah Lotus Esprit 1976 yang digunakan sebagai props filem The Spy Who Loved Me. Benar, pasangan suami isteri tersebut cuma membayar USD100 untuk secebis peninggalan sejarah perfileman Hollywood.

Sebenarnya lapan unit Lotus Esprit digunakan sewaktu penggambaran tapi hanya unit yang dimiliki pasangan ini yang telah digunakan untuk penggambaran bawah air. Menurut rakan kongsi Ian Flemings Foundation, Doug Redenius yang mengesahkan ketulenan kereta tersebut, pasangan suami isteri tersebut tidak pernah menonton filem James Bond dan tidak mengetahui betapa bernilai kereta yang dtemui mereka.

Memasang niat untuk memperbaikinya, pasangan tersebut memuatkan Esprit itu ke belakang  trak mereka sebelum dihubungi oleh pemandu trak lain dalam perjalanan menyatakan betapa istimewa kereta tersebut.

Berdasarkan maklumat tersebut pasangan itu kemudiannya mula melakukan proses restorasi secara luaran dan mempamerkannya di pelbagai acara sebelum ia dilelong pada tahun 2013. Ia dijual kepada seorang pembeli rahsia yang membayar sebanyak USD997,000 untuk memilikinya dan pembeli tersebut rupanya ialah Elon Musk.

Sebaik membelinya, Musk menyatakan yang ia akan digantikan dengan enjin milik Tesla dan menukarkannya dari kereta biasa kepada kapal selam mini sama seperti dalam filem. Sampai sekarang sebenarnya belum ada sebarang perkembangan tentang projek kapal selam mini Esprit Musk itu.

Google ads
Back to top button