Artikel Pilihan

PERLU KE TUKAR KEPADA PETROL EURO 4M?

Euro 4 merupakan satu peraturan atau standard yang diperkenalkan oleh kesatuan Eropah dalam mengklasifikasikan kenderaan yang dijual dalam kesatuan berdasarkan pengeluaran asap, nitrogen oksida, gas hidrokarbon, karbon monoksida dan partikel asap yang dihasilkan semasa enjin dihidupkan. Undang-undang ini mula dikuatkuasakan pada tahun 1992 dengan standard Euro 1 sebagai permulaan.

Bermula dari 31 Desember 1992, semua kereta yang akan djual di kesatuan Eropah perlu melepasi tahap piawaian ini atau langsung tidak dibenarkan untuk dijual terus. Jadi tidak menghairankan jika kita mendapati enjin pembakaran dalam yang ditala untuk pasaran Eropah menghasilkan kuasa yang kurang berbanding dengan enjin untuk kegunaan pasaran lain.

Undang-undang Euro 1 menyatakan bahawa semasa beroperasi enjin tersebut tidak boleh melepaskan 2.72g karbon monoksida per km, 0.97g Nitrogen Monoksida dan Hidrokarbon per km, dan 0.14g jelaga bagi setiap km bagi enjin petrol dan juga disel. Buat masa sekarang, kesatuan Eropah telahpun menggunakan standard emisi Euro 6 bagi semua kenderaan yang dijual di Eropah.

Pembaca boleh merujuk kepada jadual dibawah bagi membandingkan tahap pencemaran Euro 2 yang digunakan oleh Malaysia, yang akan bertukar kepada Euro 4 bermula Januari 2020 dan juga Euro yang sedang digunakan oleh kesatuan Eropah.

Pencemaran Gas / AsapEuro 2Euro 4Euro 6
Karbon Monoksida (g/km)2.211
Hidrokarbon (g/km)0.50.10.1
Nitrogen Oksida (g/km)0.50.080.06
Jelaga (g/km)NANA0.005

Jadi dengan pengenalan petrol gred Euro 4 ini, kami yakin ia mampu mengurangkan pencemaran dan pelepasan asap dari enjin kepada alam sekitar bagi menjamin keletarian alam. Gas karbon monoksida merupakan gas yang terhasil daripada pembakaran yang tidak lengkap, tidak berbau dan boleh menyebabkan kematian jika terhidu dalam kuantiti yang banyak.

Gas nitrogen oksida pula akan bergabung dengan air hujan bagi menghasilkan hujan asid yang bukan sahaja mengganggu pH alam sekitar seperti punca air dan sungai, malah menyebabkan kerosakan kepada bangunan dan juga cat kereta. Gas hidrokarbon pula boleh merosakkan sistem pernafasan dan menyebabkan masalah pernafasan kepada manusia. Jelaga atau asap hitam akan menyebabkan masalah jerebu yang selalu disedekahkan oleh negara jiran kepada Malaysia

Standard Euro 4M yang akan digunakan merupakan standard yang telah diubahsuai untuk memenuhi keperluan pasaran dan keadaan cuaca tempatan. M bukanlah merujuk kepada Malaysia atau restoran mamak yang dipopularkan oleh filem animasi namun merujuk kepada terma Modified. Perbezaan utama antara petrol standard Euro 2 dengan Euro 4M ialah kandungan molekul sulfur yang berada dalam rantaian hidrokarbon petrol itu sendiri.

Petrol Euro 2 mengandungi 500ppm (bahagian per sejuta) molekul sulfur, berbanding Euro 4M hanya mengandungi 50ppm (bahagian per sejuta) iaitu 90% lebih kurang berbanding standard yang lama. Semasa proses pembakaran petrol, sulfur yang tidak terbakar akan bertukar kepada molekul sulfur oksida yang menjadi punca hujan asid jika tidak dikawal.

Namun proses penapisan petrol memerlukan proses tambahan yang kompleks dengan kos yang lebih tinggi. Petroleum yang digunakan perlu ditapis dan dirawat terlebih dahulu secara kimia bagi mencapai standard yang ditetapkan oleh kerajaan. Namun saya ingin tegaskan proses ini tidak akan sesekali mengubah Research Octane Number, kecuali pihak industri menambah bahan pemangkin. Ia cuma menjadi lebih bersih, bukan lebih power.

Namun keberkesanan petrol Euro 4M ini dalam mengurangkan pencemaran asap juga bergantung kepada keupayaan sistem pemangkin dan kawalan pencemaran asapa yang dipasang pada kenderaan itu sendiri. Malah sulfur oksida ini juga jika tidak dikawal akan mengotorkan sistem katalis ekzos menjadikan ia kurang efektif dalam membersihkan asap sebelum dibebaskan ke persekitaran

Jika anda perasan, semakin banyak enjin petrol sekarang menggunakan kaedah suntikan bahan api terus dimana enjin ini beroperasi hampir sama dengan kitaran enjin disel. Salah satu masalah yangdihadapi oleh enjin disel atau suntikan bahan api terus ialah penghasilan jelaga sewaktu enjin sedang beroperasi. Standard Euro 4M ini memberi penekanan pengurangan penghasilan jelaga

Jika dilihat kepada jadual di atas juga anda akan dapati pelepasan gas hidrokarbon iaitu gas petrol yang tidak terbakar dan meruap dikurangkan daripada 0.5g kepada 0.1g. Pencemaran hirokarbon ini biasanya berlaku semasa anda mengisi semula petrol ke dalam tangki dan gas petrol yang meruap ketika ini berlaku merupakan satu bentuk pencemaran. Malah petrol yang meruap ini membahayakan pengguna serta membazirkan duit pengguna.

Google ads
Back to top button