PEKERJA JKR CAT GARISAN JALAN MAUT DIREMPUH WANITA WARGA EMAS
Seorang pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) maut, sementara tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika melakukan kerja mengecat garisan jalan di Jalan Lorong Pandan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera, Melaka, pagi tadi.
Dalam kemalangan pukul 10 pagi itu, Tambi Chik Selim, 57 tahun maut di tempat kejadian. Sementara dua orang rakan sekerja mangsa yang berusia 39 dan 56 tahun cedera parah.
Seorang lagi pekerja yang belum dikenal pasti pula cedera ringan. Wanita yang memandu kereta Perodua Viva berusia 67 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya memberitahu, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita warga emas itu dalam perjalanan dari Lorong Pandan menghala ke Limbongan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu suspek gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh tiga motosikal pekerja JKR yang diparkir.
Pada masa sama, empat orang pekerja JKR yang sedang berehat selepas menjalankan kerja mengecat dan menyusun kon di lokasi kejadian turut dirempuh kereta terbabit.
Hasan Basri berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Tiga mangsa yang cedera dihantar hospital sama untuk rawatan lanjut.
Pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut. Sampel darah turut diambil bagi pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Astro Awani
- BACA: PEMANDU PANIK CUBA HALAU LABAH-LABAH. KERETA REMPUH TIANG PAPAN TANDA
- BACA: KERETA DIPANDU LAJU REMPUH TESLA X KETIKA BERHENTI. MELAYANG BAI!!!
- BACA: TERBABAS REMPUH BILIK PAMERAN MCLAREN. MALANG BETUL NASIB KAU
- BACA: HONDA CR-V DIREMPUH KERETA PERISAI TENTERA KERANA TUKAR HALUAN SECARA TIBA-TIBA