TESLA PEGANG REKOD KEMALANGAN MAUT PALING TINGGI DI AMERIKA – INI BUKAN OMONG KOSONG
Tesla sekali lagi menjadi topik bualan netizen di seluruh dunia bila satu kajian mendapati kenderaan mereka paling banyak terlibat dalam kemalangan maut di AS berbanding jenama lain di pasaran. Ironik bukan, mereka berhasrat mencipta kereta paling selamat di dunia tapi sikap pengguna tidak membuatkannya selamat.
Kajian yang dijalankan berdasarkan jumlah kemalangan maut dengan jarak ianya dipandu dan jumlah kenderaan yang didaftarkan.
Hasilnya mereka mendapati Tesla menjuarai takhta kenderaan paling banyak terlibat dengan kemalangan maut di AS diikuti oleh Kia, Buick, Dodge dan Hyundai. Jenama lain tu boleh dibaratkan sudah berusia berbanding Tesla yang baru setahun jagung.
Keputusan itu nyata mengejutkan kerana kenderaan keluaran Tesla seperti Model 3 dan Model Y lulus ujian keselamatan dengan markah yang tinggi. Sudah tentu ia berkaitan dengan sikap pemandunya. Takkanlah kereta tu pandai-pandai nak buat keputusan semberono.
Laporan kajian yang dikumpulkan oleh iSeeCars.com mencadangkan yang kebanyakan kemalangan maut berlaku bukan hasil rekaan kenderaan tapi lebih kepada sikap pemandu itu sendiri. Ini kami memang setuju seratus peratus.
Karl Bauer, penganalisis iSeeCars menyatakan kereta-kereta terbaru sudah semestinya lebih selamat berbanding model-model sebelum ini.
Namun tahap keselamatan itu tidak bermakna bila sikap pemandu dan faktor kelajuan menjadi punca satu-satu kemalangan. Sebab itulah angka kematian akibat kemalangan maut sentiasa meningkat. Kalau dalam hujan pun sibuk nak memecut, bawa kereta paling selamat pun sia-sia.
Saiz, berat dan ketinggian kenderaan turut memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan terhadap penumpang jika berlaku perlanggaran.
Namun percayalah jika anda berada dalam kereta kebal sekalipun keselamatan anda belum terjamin jika pemandunya buat peragai.
Seorang pemandu yang fokus, mematuhi halaju, tidak berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol berpeluang tiba lebih selamat ke destinasi berbanding pemandu cuai walaupun dengan hanya memandu kenderaan biasa.
Jadi kesimpulannya kesalahannya bukan terletak pada rekaan Tesla itu sendiri tapi lebih kepada sikap pengguna, ibu bapa dan persekitaran dan bukannya akibat kenderaan yang mereka pandu.