Artikel Pilihan

HYUNDAI DISIASAT SELEPAS KEMATIAN 3 PEKERJA SEMASA UJIAN KENDERAAN – BAHAYA ADA DI MANA-MANA

Pekerjaan apa pun yang dilakukan memang ada risikonya. Pembangunan kereta baharu turut mempunyai risiko tersendiri. Bukan hanya kepada pemandu penguji yang mengujinya dilitar ataupun pemandu forklift di kilang pemasangan. Hyundai kini sedang disiasat pihak berkuasa selepas tiga juruteranya meninggal dunia semasa sesi ujian kereta yang tidak bergerak.

Laporan dari Korea menyatakan yang ketiga-tiga mangsa berada dalam ruangan khas untuk menguji keadaan alam sekitar yang kompleks semasa kejadian. Ruangan berkenaan mampu mensimulasi keadaan cuaca yang ekstrim untuk menguji kenderaan yang dalam peringkat prototaip. Contohnya kepanasan, kesejukan dan kelembapan yang ekstrim.

Walaupun siasatan masih lagi dilakukan oleh pihak polis, media Korea melaporkan kematian mangsa ialah akibat lemas. Kemungkinan akibat pengumpulan gas ekzos di dalam ruang tersebut.

Mangsa ialah dua orang penyelidik kanan Hyundai berusia lewat 30an dan 40an manakala seorang lagi ialah penyelidik luar. Kematian disedari oleh pekerja lain selepas ketiganya gagal keluar selepas sesi ujian tamat.

Hyundai dalam kenyataan rasmi mereka menyatakan kesedihan atas insiden yang berlaku di fasiliti mereka di Ulsan, Korea Selatan. Mereka akan memberikan kerjasama yang diperlukan kepada pihak berkuasa dalam usaha mencari punca kejadian.

Google ads
Back to top button