Artikel Pilihan

FORD RAPTOR V8 – HASIL KACUKAN RANGER DAN MUSTANG

Ford kini dalam usaha memperkenalkan Ranger berkuasa tinggi dengan enjin V8 untuk pasaran Australia. Sebagai pengedar 4×4 paling laris di Australia, mereka kini berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi Ranger dengan menukar enjin empat selinder asal kepada enjin 5.0L V8 sama seperti yang digunakan oleh Ford Mustang.

Ia bukannya untuk pasaran global dan dikira sebagai salah satu projek rahsia yang diluluskan oleh Ford Australia dengan hasil kejuruteraan tempatan. Tapi yang peliknya, mereka tidak menggunakan khidmat 1000 orang yang terlibat dalam pembikinan T6 Ranger dan Everest tetapi diserahkan kepada firma kejuruteraan luar.

Bagaimana proses pembuatan Ranger V8 ini berjalan? Ia akan bermula dengan Ranger berkuasa disel asal tetapi akan dirombak semula untuk proses naik taraf yang menyeluruh.

Nadi utama Ranger V8 ini nanti tentulah enjin Ford Coyote V8 yang sama seperti digunakan oleh Ford Mustang GT. Enjin 5038cc DOHC suntikan penuh V8 itu telah dinaik taraf pada 2018 dan mampu menghasilkan 455hp kuasa dan 556Nm tork maksima. Kuasa enjin baru itu sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding enjin 6.2L V8 yang digunakan oleh Holden Commodore SS (408hp).

Walaupun jumlah kuasa kuda sebenar Raptor V8 ini belum dapat disahkan, namun ia dijangka lebih kurang sama dengan kuasa yang dihasilkan oleh Ford Mustang GT hari ini.

Mungkin inilah penyelesaian yang paling sesuai untuk menjawab kritikan terhadap jentera perlumbaan Baja Ford. Masalah prestasi teruk di jalan lurus. Ia akan diatasi semestinya dengan menggunakan enjin yang lebih berkuasa.

Google ads
Back to top button