Buletin

PEMANDU MABUK SEBABKAN KEMATIAN BAKAL DIHUKUM PENJARA 20 TAHUN

Pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat selepas ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong memberitahu, pihaknya mencadangkan supaya pesalah dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Menurut Liew, Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“Saya serahkan kepada MOT untuk ambil langkah menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Mereka yang cuai atau mabuk mesti bertanggungjawab. Mereka perlu dikenakan hukuman setimpal jika didapati bersalah,” katanya.

Pada 29 Jan lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian.

Ia bakal melibatkan pindaan tiga seksyen di bawah APJ 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45.

Pada masa ini, pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987. Akta itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Ditanya mengenai cadangan pihak tertentu supaya pemandu mabuk yang membabitkan kemalangan maut didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat, Liew menegaskan yang kesalahan jalan raya adalah tertakluk di bawah APJ 1987.

Walau bagaimanapun,  ia terpulang kepada budi bicara mahkamah selepas meneliti hujahan pihak pendakwa raya. – BERNAMA

Google ads
Back to top button