Buletin

PENGERUSI MITSUBISHI MOTORS CORP LETAK JAWATAN

Pengerusi Mitsubishi Motors Corp., Osamu Masuko dilapor telah meletak jawatan selepas 15 tahun berkhidmat atas alasan kesihatan.

Keputusan yang mengejutkan itu dibuat ketika pakatannya bersama Nissan Motor Co. dan Renault SA sedang bergelut dengan masalah keuntungan yang kian merudum.

Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi, Takao Kato akan memikul tanggungjawab sebagai pengerusi buat sementara waktu. Masuko bagaimanapun akan kekal selaku penasihat syarikat.

Beliau merupakan pegawai kanan terakhir selepas bekas pengerusi pakatan Renault-Nissan, Carlos Ghosn ditahan pada November 2018 atas tuduhan melakukan jenayah kewangan.

Masuko bertanggungjawab berunding dengan Ghosn untuk menjual satu pertiga Mitsubishi selepas sahamnya jatuh teruk berikutan skandal emisi.

Biarpun pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah mengumumkan strategi baru pada Mei lalu, ia dijangka tetap mengalami kerugian berbilion dolar akibat pandemik COVID-19.

“Di bawah pengurusan baharu, jelas bahawa Mitsubishi akan mengutamakan kelangsungan hidup jenamanya,” kata penganalisis daripada Tokyo Tokai Research, Seiji Sugiura.

Minggu lalu, Mitsubishi meramalkan kerugian operasi sebanyak ¥140 bilion (RM5.4 bilion). Ia juga mengumumkan bakal menutup satu kilang di Jepun yang memasang model seperti Pajero untuk mengurangkan kos.

Google ads
Back to top button