Artikel Pilihan

44 TAHUN LEPAS BELI PIKAP DENGAN HARGA USD75 – KINI JUAL BALIK JUGA DENGAN HARGA USD75

Kat mana berlaku ni? Semestinya bukan kat Malaysia, harga pun dah USD kan? Ini kisah sebuah pikap Chevrolet vintaj yang dibeli oleh Bob Sportal, seorang lelaki 44 tahun lepas pada tahun 1976 ketika berusia awal 20-an.

Pikap itu sebenarnya ialah sebuah Chevrolet keluaran tahun 1957 (dah sama lama dengan kemerdekaan Malaysia). Menurut isteri Bob, Bob menggunakan untuk berkerja di Minnesota setiap hari selama 38 tahun sehinggalah beliau bersara.

Bob membeli pikap tersebut daripada John VanDerveen seorang peladang pencen yang ingin menjualnya dengan harga USD75 pada ketika itu. Kini Bob sendiri sudah bersara dan tidak lagi memerlukan pikap tersebut dan membuat keputusan untuk menjualnya kepada Tom Leenstra, cucu kepada peladang pencen yang menjual pikap itu kepada Bob.

Bob memang cukup dikenali di bandar Prinsberg, Minnesota kerana sentiasa memandu pikap Chevrolet yang sudah berkarat itu. Malah bunyi berkeriut komponen-komponen yang sudah haus sudah menjadi identity Bob dan pikap tersebut.

Isteri Bob, Kathy sudah lama memujuk Bob supaya menjual pikap tersebut tetapi faktor nilai sentimental sentiasa menjadi halangan. Kalau nak dikira keadaan pikap ni dah teruk betul dengan panel badan yang kemek dan berkarat di sana sini, upholsteri yang dilekatkan dengan pita pelekat dan brek yang jarang-jarang berfungsi.

Kathy juga mahukan ruang yang lebih kuas di dalam garaj dan memberi alasan bimbang cucu-cucu mereka terjatuh seandainya pintu pikap tersebut terbuka sewaktu bergerak. Korang tahulah pemikiran orang rumah macam mana kan?

Sebenarnya sudah lebih 10 tahun keluarga pemilik asal meminta untuk membeli kembali pikap tersebut dari Bob dan hari ini Bob akhirnya bersetuju untuk menjualnya kembali kepada Tom dengan harga hanya USD75. Nilai sebenar pikap vintaj macam ni sebenarnya jauh lebih tinggi tapi yang paling pentingnya ialah pikap tersebut telah kembali ke pangkuan keluarga asal.

Alasan Bob ialah beliau telah membeli dengan nilai tersebut dan ia akan kembali ke pangkuan keluarga asal dengan nilai yang sama. Tom pula menerima kunci asal pikap datuknya dalam keadaan penuh beremosi dan menyatakan ianya seperti kembali ke zaman kanak-kanak ketika bersiar-siar bersama satu masa dulu.

Tom berhasrat untuk menaik taraf pikap tersebut satu hari nanti tapi akan mengekalkan keadaan asalnya untuk sementara waktu sebagai mengingati memori bersama datuknya.

Kredit Kare11.com dan Carbuzz.com

Google ads
Back to top button