PERJANJIAN PAKATAN RENAULT-NISSAN BAKAL DIUMUMKAN PADA AWAL FEBRUARI – RENAULT KURANGKAN PEGANGAN DALAM NISSAN
Setelah berbulan-bulan lamanya rundingan berlangsung, akhirnya perjanjian antara Renault dan Nissan bakal diumumkan secara rasmi pada 1 Februari ini.
Perjanjian itu menyaksikan Renault akan mengurangkan pegangannya dalam Nissan kepada 15 peratus, iaitu pegangan sama rata antara satu sama lain.
Sebelum ini, kedua-dua pembuat kereta itu telah mengadakan rundingan insentif sejak Oktober, tetapi segala rundingan dan perancangan gagal memenuhi syarat kedua-dua pihak.
Pada awal rundingan antara Renault dan Nissan, Renault mahu Nissan melabur dalam perniagaan kenderaan elektrik (EV), sementara Nissan mengadakan syarat supaya Renault menjual sebahagian besar kira-kira 43 peratus kepentingannya dalam Nissan.
Tetapi, isu yang merumitkan ialah kebimbangan Nissan tentang layanan harta intelek, termasuk EV, hibrid dan teknologi berkaitan pemanduan autonomi yang dilihat sebagai kunci kepada daya saing masa depannya sendiri.
Menurut laporan Reuters, jawatankuasa lembaga Nissan telah memberi lampu hijau kepada Renault untuk menyediakan cadangan bertujuan untuk menangani kebimbangan Nissan. Perjanjian berpotensi itu akan diteliti semula oleh mesyuarat lembaga perikatan pada 26 Januari di Jepun.
Satu perjanjian kemudiannya perlu diluluskan oleh lembaga pengarah kedua-dua pembuat kereta semasa mesyuarat yang belum dijadualkan. Jika kedua-duanya bersetuju, pengumuman rasmi boleh dibuat selepas 31 Januari.
Meskipun jadual waktu boleh berubah, tetapi kedua-dua syarikat lebih suka membuat pengumuman rasmi sebelum mengeluarkan keputusan tahunan mereka, yang dijadualkan pada 9 Februari untuk Nissan dan 16 Februari untuk Renault.