Artikel Pilihan

ANDA BERANGAN NAK PAKAI BUGATTI CHIRON? INI KOS MEMBELA CHIRON

Bugatti Chiron merupakan hypercar yang berkuasa 1478 kuasa kuda yang dihasilkan daripada enjin 16 silinder susunan W. Enjin 8000cc ini dipadankan dengan 4 turbo (quad) dan juga transmisi klac berkembar 7 kelajuan mampu memecut 0-100km/jam dalam masa 2.4 saat dan halaju tertinggi yang boleh dicapai ialah 490km/jam.

Dalam satu video yang dihasilkan oleh saluran The Hamilton Collection, pengacara program mendedahkan berapakah kos yang anda perlu bayar jika anda memandu dan menjada Chiron selama 10 tahun. Steve Hamilton dan pengurusnya mendedahkan beberapa angka yang boleh menyebabkan anda terkena strok serta merta

Sebagai contoh, menurut Steve kos servis major adalah setiap 4 tahun sekitar RM 146,000 sahaja tapi Steve mengatakan kos tersebut ditanggung oleh Bugatti kerana ia merupakan sebahagian daripada pakej jaminan pengeluar.

Untuk major servis, Bugatti akan menukar minyak gandar depan, minyak sistem AWD, minyak gandar belakang, minyak transmisi DSG, penapis sistem DSG, penapis udara enjin, tali sawat, palam pencucuh, cecair penyejuk enjin serta servis pada sistem penyaman udara.

Setiap tahun, kos servis minor adalah sekitar RM 49500 bagi setiap 10,000 batu perjalanan. Ketika ini pusat servis akan menukar minyak pelincir enjin, penapis minyak enjin, akumulator sistem DSG, penapis kabin, minyak brek dan bateri untuk kunci keyless

Steve juga terpaksa membaiki lampu belakang yang tidak menyala disebabkan Chiron tersebut pernah tersangkut di dalam salji dan ditolak beramai-ramai. Bugatti berpendapat tindakan menolak Chiron dan meletakkan tangan pada lampu menyebabkan lampu belakang rosak. Kos penggantian lampu belakang mencecah RM 43,000 untuk set lampu LED baru

Bugatti juga menyarankan agar tayar Chiron ditukar dalam tempoh 5 tahun walaupun langsung tidak dipandu dengan kos RM 36,267 bagi satu set tayar baru Michelin. Steve juga kehilangan kunci keyless “speed key” dimana dia perlu membayar RM 58,150

Kunci ini akan membenarkan pemandu memandu pada halaju maksimum yang dibenarkan oleh Bugatti iaitu 420km/jam jika keadaan adalah selamat. Steve juga mencadangkan agar pemilik membeli pakej jaminan pengeluar sewaktu membeli Chiron bagi memastikan anda selamat daripada membayar apa-apa kerosakan luar jangka yang tidak dilindungi oleh jaminan biasa

Di penghujung video, pengurus koleksi kereta Steve Hamilton mendedahkan kos beberapa komponen penting jika kereta ini rosak. Jika enjin 16 silinder Chiron ini rosak dan perlu dihasilkan semula, kosnya ialah RM 3.7 juta. Rotor brek depan pula berharga RM 78,615 bagi satu set dan pelapik brek pula berharga RM 29,000 satu set

Rotor brek belakang juga berharga RM 78,615 per set tapi nasib baik pelapik brek belakang adalah lebih murah iaitu RM 17,273. Ok jika anda merosakkan sistem gear DSG, maka bersiap sedialah untuk membayar RM 794,112 untuk unit DSG baru

Secara keseluruhan, anggaran kos yang diperlukan untuk membela Bugatti Chiron selama 10 tahun ialah sekitar RM 897,639 sahaja. Murah kan…..

Google ads
Back to top button