Buletin

NISSAN MAHUKAN KEADILAN DALAM RUNDINGAN RENAULT-GEELY

Kebimbangan Nissan mengenai pemindahan teknologi telah merumitkan rancangan rakan kongsinya Renault untuk menjual kepentingan besar dalam perniagaan enjin petrolnya kepada Geely China.

Renault sedang menjalankan penstrukturan semula secara serampang dua mata yang kompleks, selain menyakinkan Nissan untuk melabur dalam unit kereta elektrik baharu, Ampere.

Pada masa sama, ia juga merancang untuk memisahkan perniagaan kereta petrolnya dengan menjual sebahagian besarnya kepada Geely.

Pelabur akan mengetahui butiran kedua-dua set rundingan setelah Ketua Eksekutif Kumpulan Renault, Luca de Meo menyampaikan kemas kini mengenai strategi dan unjuran kewangan pembuat kereta Perancis itu.

Kebimbangan Nissan lebih terarah kepada hak teknologi, yang juga meliputi pelaburan-pelaburan berpotensi untuk Ampere serta mencadangkan Renault perlu menyelesaikan urus niaga secara adil.

Nissan mahu memastikan teknologi enjin pembakaran dalaman dan hibrid yang dimilikinya dilindungi dalam sebarang perjanjian Renault dengan Geely. Nissan juga mahu pemindahan teknologi kepada Geely perlu ditangani dengan berhati-hati.

Geely yang memiliki Volvo Cars dan 9.7 peratus pegangan dalam Daimler AG, boleh mengambil pegangan penting serta berpotensi mengawal dalam perniagaan kereta petrol.

Perbincangan di antara Renault dan Nissan telah berlangsung di Paris minggu lalu. Walau bagaimanapun, kebimbangan Nissan mengenai hak teknologi juga menjadi salah satu sebab mengapa ia masih belum mencapai persetujuan awal untuk melabur dalam Ampere. Selain mahu memastikan penggunaaan teknologi untuk Ampere kekal dalam unit EV.

Nissan menyasarkan penstrukturan semula dan “perkongsian sama rata” untuk mengukuhkan daya saing dalam peralihan kepada kenderaan elektrik.

Selain itu, Nissan mahu melihat layanan adil terhadap kepentingannya dalam mana-mana perkongsian baharu Renault bersama Geely.

Renault mempunyai 43 peratus pegangan dalam Nissan, manakala pengeluar kereta Jepun itu mempunyai 15 peratus pegangan dalam Renault. Namun, kini kedua-dua pihak membincangkan pengurangan pegangan Renault dalam Nissan iaitu berpotensi kepada 15 peratus pegangan.

Perikatan Renault-Nissan, yang termasuk Mitsubishi Motors sebagai rakan kongsi junior, mengumumkan rancangan pada Januari lalu untuk melabur AS$26 bilion (RM123.3 bilion).

Google ads
Back to top button