Buletin

MITSUBISHI JADI RUJUKAN RENAULT DAN NISSAN DI ASIA TENGGARA!

Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi (Alliance) sedang menyusun kerjasama mereka setelah dilanda beberapa masalah sebelum ini.

Alliance memasuki usia ke-21 tahun ini dan satu kerja sia-sia untuk membazirkan hubungan yang terbina lama.

Adalah penting kerjasama yang telah terjalin terus diperkukuhkan dalam menghadapi cabaran dalam industri automotif.

Pada 30 Januari 2020, Alliance telah menggumumkan satu rangka kerja baharu bagi mengukuhkan model perniagaan dan menguatkan lagi struktur pengurusan.

Rangka kerja itu telah disahkan pada mesyuarat Lembaga Operasi Pakatan (AOB) di Yokohama, Jepun dan akan meningkatkan keupayaan ahli Alliance untuk memanfaatkan kekuatan syarikat masing-masing dan melengkapi strategi mereka.

AOB turut menegaskan semula program utama yang digariskan pada mesyuarat lembaga pada November 2019 bagi menyokong inisiatif yang membolehkan setiap syarikat Alliance dapat meningkatkan daya saing dan keuntungan di tengah-tengah peralihan industri ke perkhidmatan mobiliti baru.

Secara ringkasnya, rangka kerja baharu itu akan memanfaatkan kekuatan ahli Alliance.

Berikut ialah di antara perkara yang telah diputuskan oleh AOB:

  • Di pasaran serantau, setiap satu syarikat akan menjadi rujukan mengikut kawasan yang telah ditetapkan iaitu Nissan untuk China, Renault untuk Eropah dan Mitsubishi untuk Asia Tenggara
  • Kerja-kerja kejuruteraan akan dibuat berdasarkan model peneraju dan pengikut. Skop itu diluaskan kepada platfrom, nadi kuasa dan teknologi utama
  • Dengan itu, satu syarikat akan meneraju Alliance bagi pembangunan setiap teknologi utama dan kemudian dikembangkan kepada rakan Alliance yang lain
  • Untuk kenderaan komersial ringan (LCV), Renault akan membangun dan mengeluarkan van Mitsubishi di kilang Sandouville yang diasaskan dari platform Renault Traffic. Van itu akan dijual di pasaran Oseania (Australia, New Zealand dsb)
  • Pelan strategik jangka sederhana ketiga-tiga syarikat akan didedahkan secara serentak sekitar Mei 2020

Rangka kerja itu akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan projek dalam Alliance untuk mengukuhkan penggunaan sumber dan pelaburan dalam ketiga-tiga syarikat.

Dari segi penyeliaan, AOB dianggotai seorang pengerusi dan pengerusi atau ketua pegawai eksekutif setiap syarikat dalam Alliance.

AOB bersetuju untuk terlibat secara aktif dengan Lembaga Pengarah Renault, Nissan dan Mitsubishi Motors untuk mengukuhkan tadbir urus untuk beroperasi dengan berkesan bagi faedah setiap syarikat ahli.

Inisiatif itu akan memaksimumkan kerjasama dalam Alliance, sambil mengekalkan identiti dan autonomi setiap syarikat ahli.

Google ads
Back to top button